Projek Trans Borneo Rail, Penyambung Utama Logistik Sabah Dan Sarawak

11 Mar 2025 • 1:35 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sistem rel ini fokus pengangkutan kargo dengan kapasiti 70 peratus

Projek Trans Borneo Rail, Penyambung Utama Logistik Sabah Dan Sarawak. Projek mega Trans Borneo Rail semakin mendapat perhatian apabila kerajaan mengumumkan bahawa sistem rel ini akan memberi tumpuan kepada pengangkutan kargo dengan kapasiti 70 peratus, manakala baki 30 peratus akan diperuntukkan bagi perkhidmatan penumpang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, menjelaskan bahawa model projek ini mengambil inspirasi daripada konsep Projek Rel Pantai Timur (ECRL) dalam usaha menyokong keperluan logistik dan perindustrian di Sabah dan Sarawak.

image is not available

Hubungan ke Kalimantan dan Sistem Rel Bandar

“Bagi perkhidmatan rel dalam bandar pula, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Kuching yang lebih sesuai untuk pergerakan penumpang dalam kawasan bandar,” katanya dalam sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara.

Dalam sesi tersebut, Senator Robert Lau Hui Yew turut mengemukakan persoalan mengenai kemungkinan kajian ini akan merangkumi hubungan ke Kalimantan, Indonesia serta mempertimbangkan sistem pengangkutan pantas seperti Transit Rel Ringan (LRT) di Kuching bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

Sebagai jawapan, Datuk Hasbi menjelaskan bahawa Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak akan terlibat secara langsung dalam perancangan projek ini. Setakat ini, kerajaan telah bersetuju untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025 dan selesai pada 2026.

“Kajian ini akan meneliti aspek teknikal, komersial, sosio-ekonomi serta model pembiayaan projek. Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada permohonan projek fizikal dan pembangunan sistem kereta api di Sabah dan Sarawak,” tambahnya lagi.

Meningkatkan Ketersambungan Bandar-Bandar Utama

Dengan adanya kajian kebolehlaksanaan ini, kerajaan yakin bahawa perancangan rangkaian kereta api dapat dilakukan secara lebih objektif. Projek Trans Borneo Rail dijangka akan meningkatkan ketersambungan antara bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak, sekaligus merancakkan sektor ekonomi dan logistik di rantau ini.

Sementara itu, mesyuarat penilaian seterusnya bagi projek ini dijadualkan berlangsung esok dengan penglibatan semua agensi berkaitan. Perbincangan akan meneliti aspek laluan, keperluan infrastruktur, serta penyelarasan pembangunan logistik di kedua-dua negeri.

Sebagai sebuah projek yang berpotensi besar dalam merancakkan ekonomi Borneo, Trans Borneo Rail bukan sekadar membuka peluang kepada sektor logistik tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat setempat dengan peningkatan aksesibiliti dan ketersambungan antara bandar-bandar utama. Pastinya, projek ini menjadi titik permulaan kepada masa depan pengangkutan yang lebih moden dan efisien di Sabah dan Sarawak.

Baca juga cerita semasa di bawah: