Projek UEM Sunrise, Aspira Hills Fasa 2A & 3A habis dijual dalam tempoh 48 jam di JS-SEZ

17/09/2025 - 16:14
Ilustrasi Aspira Hills apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Sept – UEM Sunrise Berhad melakar kejayaan luar biasa apabila semua unit Aspira Hills Fasa 2A dan 3A habis terjual dalam tempoh 48 jam sahaja selepas pelancarannya di Iskandar Puteri, Johor.
Kejayaan itu bukan sekadar mencerminkan keyakinan pembeli terhadap UEM Sunrise Berhad, malah membuktikan peranan Iskandar Puteri sebagai koridor pertumbuhan utama dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang memacu pembangunan mampan dan peluang ekonomi baharu di selatan Johor.
Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, sesi pra-jualan eksklusif selama dua hari bagi pembeli awal menyaksikan semua unit terjual habis mengukuhkan momentum daripada pelancaran terdahulu di Iskandar Puteri.
“Sambutan positif ini satu tanda aras yang menunjukkan kepentingan Iskandar Puteri, Zon Utama B JS-SEZ sebagai kawasan berpotensi tinggi untuk pelaburan hartanah.
“Kejayaan terbaharu ini menyusul prestasi kukuh Fasa 1 yang dilancarkan pada September 2024, yang turut habis terjual, menandakan tiga fasa pembangunan ini sebagai tonggak penting dalam komitmen syarikat untuk menyediakan komuniti yang selesa, terhubung dan berdaya huni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Aspira Hills dibangunkan di atas 30.9 hektar tanah pegangan bebas di Gerbang Nusajaya, kawasan berketumpatan rendah dengan hanya 12 rumah setiap ekar. Fasa 2A dan 3A merangkumi 285 unit rumah teres dua tingkat bersaiz antara 1,743 hingga 1,820 kaki persegi, dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM230 juta.
Lokasi strategiknya di Gerbang Nusajaya menjadikan akses ke Singapura sangat mudah, hanya 15 minit dari Tuas Checkpoint melalui Gerbang Nusajaya Interchange yang akan datang.
Kawasan itu turut disokong oleh Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Lebuhraya Utara–Selatan selain akses masa depan ke Sistem Transit Pantas 2, rangkaian Perkhidmatan Kereta Api Elektrik Keretapi Tanah Melayu, serta lapangan terbang antarabangsa berhampira di Senai, Changi dan Seletar.
Tambahnya, kejayaan itu membuktikan permintaan kukuh terhadap rumah bertanah yang direka dengan teliti serta ciri-ciri unik yang lain.
“Sambutan memberangsangkan terhadap Aspira Hills Fasa 2A dan 3A menunjukkan pembeli kini mencari ruang, keselamatan dan komuniti yang tenang.
“Pencapaian ini adalah antara peranan kami sebagai pemangkin utama dalam pertumbuhan kawasan ini, selari dengan visi Kerajaan Negeri dan peluang yang muncul daripada Zon JS-SEZ.
“Kami berharap dapat mengekalkan momentum ini melalui pelancaran akan datang yang menambah daya tarikan dan keceriaan bandar,” katanya. - DagangNews.com
standard



