Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamakan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Proklamasi tak sah
Dalam kenyataan pada 17 September, AGC menyatakan kesahan serta kesan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
Menurut AGC, pihaknya sebelum ini berpandangan Proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS.
“Tiada sebarang keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir,” tulisnya.
AGC turut menjelaskan bahawa walaupun Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan menurunkan Yang di-Pertuan Besar, terdapat tatacara dan asas pertimbangan yang perlu dipatuhi sebelum keputusan sedemikian dibuat.
Jabatan berkenaan juga membangkitkan persoalan mengenai keabsahan beberapa Dato’ Undang yang menandatangani Proklamasi berkenaan selepas terdapat dakwaan bahawa mereka telah diturunkan melalui adat di luak masing-masing.
ahli MMK N. Sembilan tiada autoriti di bawah UUTKNS 1959
Dalam pada masa sama, AGC menyatakan UUTKNS 1959 memperuntukkan persoalan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Undang, berada dalam bidang kuasa Dewan Undangan dan Keadilan.
Sehubungan itu, AGC menegaskan kenyataan media atau pengumuman oleh ahli MMK Negeri Sembilan berhubung perkara tersebut tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa atau autoriti di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan.

Foto: Bernama
Jabatan itu turut berpandangan bahawa sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah tidak sah kerana tidak berperlembagaan.
Dalam pada itu, AGC memaklumkan isu berkenaan juga sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah berbentuk interlocutory injunction yang masih berkuat kuasa.
“Justeru, Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” jelasmya.
Sumber: Facebook Jabatan Peguam Negara






