amree11/09/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept — Aktiviti promosi agresif oleh pelbagai jenama automotif dijangka terus menjejaskan jualan dan margin Bermaz Auto Berhad, ketika persaingan sengit pasaran bukan nasional memberi tekanan kepada prestasi kumpulan, menurut penganalisis.
Cabaran tersebut dilihat bakal menekan keuntungan jenama XPeng di samping kelemahan operasi Mazda di Filipina menjadi antara risiko utama syarikat berkenaan, meskipun prestasi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) kumpulan itu mengatasi jangkaan.
MBSB Research berkata, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat sebanyak RM39.6 juta pada 1QFY27 mewakili 32% daripada anggaran setahun firma itu, disokong margin Mazda Malaysia yang lebih baik daripada jangkaan.
"Justeru kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap Bermaz Auto dengan harga sasaran (TP) 85 sen berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27 sebanyak lapan kali, berikutan persaingan sengit dalam segmen bukan nasional," katanya.
Menurutnya, hasil kumpulan naik 12.6% tahun ke tahun (YoY) pada 1QFY27, dipacu operasi domestik yang berkembang 21.2%, manakala jualan unit Mazda melonjak 89.8% disumbangkan sepenuhnya model Mazda 3 1.5L High+ yang mencatat lonjakan jualan 18.4 kali ganda.
Bagaimanapun, keuntungan XPeng terjejas akibat aktiviti promosi dan pemberian diskaun yang lebih agresif walaupun jualan meningkat 6% YoY, dengan margin keuntungan tertekan, manakala operasi Filipina mencatat kemerosotan hasil dan jualan unit.
Sementara itu, RHB Research menaik taraf Bermaz Auto kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan TP RM1.15 berbanding RM1.00, memberikan potensi kenaikan 24%. Firma itu berkata, keputusan 1QFY27 yang mengatasi jangkaan meningkatkan keyakinan terhadap prospek pendapatan FY27.

Ia menjangkakan pertumbuhan itu disokong pelancaran model baharu serta margin lebih tinggi, selain tekanan inflasi masih terkawal, dengan menaikkan anggaran hasil sebanyak 14.9%, 12.6% dan 14.9% bagi FY27 hingga FY29 selepas mengambil kira andaian margin yang lebih baik.
"Mazda mempunyai tempahan terkumpul sebanyak 1,700 unit, dengan model CX-5 generasi ketiga secara import sepenuhnya (CBU) pula akan dilancarkan pada 8 Oktober 2026, dengan tempahan mencecah 600 unit dan penghantaran bermula hujung September," katanya.
RHB Research turut melihat prospek CX-5 baharu secara positif memandangkan generasi sebelumnya sudah berada di pasaran lebih lapan tahun dan model CBU berkenaan menawarkan margin lebih tinggi berbanding varian pemasangan tempatan (CKD).
Bagi XPeng pula ujar firma penyelidikan tersebut, margin dijangka bertambah baik pada 2QFY27 selepas model pemasangan tempatan (CKD) mula dihantar, dengan tempahan terkumpul sebanyak 250 unit.
Selain itu ia berkata, kenaikan kos pengangkutan masih minimum buat masa ini, memberikan sedikit kelegaan memandangkan kira-kira 70% hingga 80% model Bermaz Auto dijangka diimport.
Inflasi yang terkawal turut mengurangkan kebimbangan terhadap perbelanjaan pengguna, dengan indeks harga pengguna Julai meningkat lebih rendah daripada jangkaan pada 1.8% tahun ke tahun.
Pada masa sama, RHB Research menjangkakan FY27 menjadi tahun pemulihan penting bagi kumpulan ini dengan keuntungan kembali melebihi RM100 juta, selain potensi penilaian semula saham jika momentum jualan berterusan.
Kedua-dua firma namun bersetuju bahawa momentum jualan model baharu menjadi faktor penting kepada prospek Bermaz Auto, dengan risiko utama kekal pada tempahan dan penghantaran lebih rendah daripada jangkaan serta persaingan yang semakin sengit. - DagangNews.com






