Jualan Mazda pacu peningkatan keuntungan bersih Bermaz Auto kepada RM41.5 juta pada 1QFY27

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Mazda pacu peningkatan keuntungan bersih Bermaz Auto kepada RM41.5 juta pada 1QFY27 Image from: Jualan Mazda pacu peningkatan keuntungan bersih Bermaz Auto kepada RM41.5 juta pada 1QFY27 liza10/09/2026 - 17:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept – Bermaz Auto Berhad mencatat keuntungan bersih RM41.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2026, meningkat hampir empat kali ganda berbanding RM10.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong peningkatan jualan Mazda di Malaysia serta prestasi lebih baik syarikat bersekutu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bermaz Auto berkata hasil kumpulan turut meningkat 12.6% kepada RM553.1 juta daripada RM491.3 juta setahun sebelumnya, dengan peningkatan itu didorong jumlah jualan yang lebih tinggi daripada operasi Mazda di Malaysia. 

 

Daripada keuntungan bersih tersebut, sebanyak RM40.5 juta boleh diagihkan kepada pemegang saham Bermaz Auto, berbanding RM8.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan sesaham asas meningkat kepada 3.57 sen daripada 0.71 sen. 

 

Bermaz Auto berkata peningkatan hasil sebanyak RM61.8 juta itu sebahagian besarnya disumbangkan jualan lebih tinggi daripada operasi Mazda domestik, khususnya model Mazda3 yang terus mendapat sambutan baik daripada pengguna.

 

“Peningkatan tersebut bagaimanapun sebahagiannya diimbangi jumlah jualan lebih rendah daripada operasi Kia di Malaysia selepas kumpulan menghentikan pengedaran jenama berkenaan pada November 2025,” katanya.

 

Jualan Kenderaan Jadi Pemacu Utama

Berdasarkan pecahan hasil, jualan kenderaan menyumbang RM480.4 juta kepada hasil Kumpulan pada suku tersebut, meningkat daripada RM416.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Jualan alat ganti pula berjumlah RM51.2 juta berbanding RM53.5 juta sebelumnya, manakala hasil daripada perkhidmatan penyelenggaraan dan pemasangan aksesori kenderaan meningkat sedikit kepada RM21.4 juta daripada RM20.8 juta. 

 

Dari segi pasaran, operasi Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM515 juta dan keuntungan RM53.1 juta, manakala operasi Filipina menyumbang hasil RM38.1 juta dan keuntungan RM2.2 juta. 

 

Bagaimanapun, keuntungan daripada operasi XPeng di Malaysia lebih rendah susulan aktiviti promosi yang lebih tinggi sepanjang suku dikaji yang mengehadkan peningkatan keuntungan kumpulan. 

 

Prestasi Suku Ke Suku Lebih Sederhana

Jika dibandingkan dengan suku sebelumnya yang berakhir 30 April 2026, hasil kumpulan meningkat 1.5% kepada RM553.1 juta daripada RM544.7 juta.

 

Syarikat mengaitkannya dengan keuntungan operasi XPeng yang lebih rendah serta bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada Mazda Malaysia Sdn Bhd. 

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan pada 31 Julai 2026 berjumlah RM1.64 bilion, manakala jumlah ekuiti RM757.6 juta dan jumlah liabiliti RM882.8 juta. 

 

Tunai dan baki bank pula berjumlah RM351.1 juta berbanding RM423.9 juta pada 30 April 2026. 

 

Bermaz Auto turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.00 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027, berbanding 0.75 sen sesaham pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Dividen itu akan dibayar pada 4 November 2026, dengan tarikh kelayakan ditetapkan pada 20 Oktober 2026. 

 

Cabaran Pasaran Masih Diberi Perhatian

Bagi prospek, Bermaz Auto berkata pasaran automotif berdepan beberapa cabaran termasuk tekanan inflasi, ketidaktentuan konflik geopolitik, pertumbuhan global yang lebih lemah serta kemasukan berterusan kenderaan jenama China dengan harga yang kompetitif.

 

Menurut kumpulan itu, keadaan berkenaan telah menyebabkan lebihan inventori dalam pasaran dan persekitaran harga yang tidak teratur, dengan pemberian diskaun berterusan. Perubahan dasar kerajaan turut dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan landskap automotif. 

 

Namun, Bermaz Auto berkata kesan cabaran tersebut berjaya dikurangkan menerusi pelancaran model baharu seperti Mazda3, XPeng G6 dan XPeng X9 yang mendapat sambutan baik daripada pengguna.

 

Kumpulan itu turut merancang melancarkan Mazda CX-5 2.5G baharu dan Mazda CX-80 3.3G yang dijangka mendapat sambutan baik.

 

Lembaga pengarah kekal berhati-hati terhadap perubahan persekitaran pasaran, namun positif bahawa kumpulan mampu mengekalkan kedudukan kompetitif dan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved