amree11/09/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept — Prestasi Bermaz Auto Berhad dijangka memasuki fasa pemulihan pada FY27 selepas keputusan kewangan suku pertama yang lebih baik, didorong pelancaran model baharu, peningkatan margin serta permintaan kukuh terhadap beberapa model, menurut penganalisis.
Antaranya, RHB Research yang menaik taraf saham kumpulan tersebut kepada ‘beli’ daripada ‘neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.15 berbanding RM1 sebelumnya, yang mencerminkan potensi kenaikan 24%.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras Bermaz Auto sebanyak RM42 juta pada 1QFY27 mengatasi jangkaannya dengan mewakili 33% hingga 35% daripada unjuran keuntungan setahun penuh RHB dan konsensus pasaran.
"Prestasi kukuh itu disebabkan campuran produk yang baik serta perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jangkaan selepas syarikat mengurangkan kos inventori. Keadaan itu membantu meningkatkan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada 10.1% pada 1QFY27," katanya.
RHB Research kini lebih yakin terhadap prospek pendapatan kumpulan tersebut bagi FY27, disokong pelancaran model baharu dan margin lebih tinggi, selain tekanan inflasi yang dilihat masih terkawal ketika ini.
Ia turut menyatakan saham Bermaz Auto kini diniagakan pada kira-kira tujuh kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, iaitu pada paras purata sejarahnya, dan menarik berikutan pertumbuhan tahunan kukuh, sebanyak 20%, selain hasil dividen sekitar 9% bagi FY2027.

Dari segi jualan, tempahan terkumpul Mazda kini berjumlah 1,700 unit, termasuk 650 unit Mazda 3 dan 100 unit CX-60, manakala penghantaran Mazda 3 kekal stabil pada sekitar 500 hingga 600 unit sebulan.
"Generasi ketiga CX-5 CBU pula akan dilancarkan pada 8 Oktober 2026, dengan jumlah tempahan sudah mencecah 600 unit. Susulan prestasi lebih baik dan prospek margin yang meningkat, kami menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 14.9%, 12.6% dan 14.9% bagi FY27 hingga FY29," kata RHB Research.
Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) turut melihat prestasi 1QFY27 Bermaz Auto mengatasi jangkaan, disebabkan permintaan kukuh terhadap model tertentu, termasuk populariti berterusan Mazda 3.
Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan FY27 hingga FY29 secara purata 26%, di samping meningkatkan TP kepada RM1.28 daripada 82 sen dan menaik taraf penarafan saham kepada ‘outperform’ daripada ‘neutral’, berdasarkan penilaian lapan kali ganda pendapatan sesaham (EPS) FY28.
Bagaimanapun, MBSB Research pula dalam analisisnya, masih lagi mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham kumpulan tersebut dengan TP 85 sen, walaupun keputusan 1QFY27 mengatasi jangkaannya.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan sementara menunggu maklumat lanjut daripada sesi taklimat, dengan tempahan Mazda Malaysia dilaporkan pada 17,000 unit, manakala XPeng dan Mazda Filipina masing-masing mempunyai tempahan 250 dan 200 unit," katanya. - DagangNews.com






