Proses bedah siasat empat mangsa kemalangan maut di Gerik selesai

5 Oct 2026 • 3:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Proses bedah siasat empat mangsa kemalangan maut di Gerik selesai
Jenazah mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat dari arah Kelantan menghala ke Gerik semalam, dibawa menaiki van jenazah dari Jabatan Forensik Hospital Taiping, pada Isnin. Foto: Bernama
Image from: Proses bedah siasat empat mangsa kemalangan maut di Gerik selesai
Ahli keluarga dan saudara-mara mangsa tidak dapat menahan sebak di Jabatan Forensik Hospital Taiping, pada Isnin. Foto Bernama

TAIPING - Proses bedah siasat empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terbabit dengan kemalangan maut di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik semalam, selesai sepenuhnya tengah hari Isnin.

Kesemua jenazah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Taiping di sini dan telah dituntut oleh waris keluarga kesemua mangsa terbabit.

Jenazah pertama dilihat keluar dari pekarangan jabatan itu pada jam 9.55 pagi seterusnya jenazah kedua pada 12.30 tengah hari dan dua jenazah terakhir pula dibawa keluar dengan van jenazah kira-kira jam 1.32 tengah hari.

Tinjauan mendapati waris keluarga mangsa tiba di pekarangan jabatan berkenaan kira-kira jam 8 pagi Isnin.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman memaklumkan identiti mangsa kemalangan maut telah dikenal pasti iaitu Al Zubair Deraman, 31, Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan Nik Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, namun identiti kanak-kanak perempuan itu tidak dapat disahkan.

Kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam membabitkan tiga sekawan yang dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan selepas melakukan aktiviti memancing di Perak.

**media[3668261]**

Difahamkan mangsa yang cedera pula ialah Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, dan kesemua mangsa beralamat di Kota Bharu, Kelantan.

Kemalangan maut itu dipercayai berpunca daripada kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori di lokasi itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari itu melibatkan tiga kenderaan iaitu lori Hino, Proton Persona dan Perodua Axia.

Sementara itu, bapa saudara kepada Allahyarham Nik Mohamad Hafiz Daniel, Mohd Yasri Yasin, 43, berkata, ketiga-tiga mangsa dewasa yang terkorban dalam insiden itu merupakan kenalan.

"Mereka bergerak dari Kelantan untuk memancing di Perak sekitar jam 4 atau 5 pagi dan bertolak untuk pulang tengah hari semalam.

"Bagaimanapun, mereka terlibat kemalangan di lokasi tersebut. Dua mangsa kanak-kanak adalah anak Tuan Shazrin," katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved