Beberapa hari lalu, negara dikejutkan dengan kematian melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairol Faisal yang dijumpai lemah sebelum meninggal dunia di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu.
Susulan itu Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek tampil menafikan dakwaan pelajar itu diseret dari surau sekolah ke tempat kejadian serta memaklumkan polis sedang melakukan siasatan termasuk beberapa pelajar telah ditahan serta seorang direman.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan Irene Sofiya Diseret Dari Surau Ke Tempat Kejadian Adalah Tidak Benar – Fadhlina
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Akan Terus Berjuang Agar Anak Saya Mendapat Keadilan” – Bapa [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]
Trauma tumpul di kepala punca kematian Irene Sofiya – Polis
Terbaharu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan bedah siasat ke atas mayat pelajar berusia 16 tahun itu mendapati punca kematiannya disebabkan trauma objek tumpul di kepala atau blunt trauma to the head.
Ujar beliau bedah siasat itu dilakukan kepada murid berkenaan semalam (4 Oktober) oleh Pakar Patologi dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor.
Murid lelaki ditangkap dan reman selama 6 hari untuk bantu siasatan
“Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun telah ditangkap pada Sabtu (3 Oktober) lepas dan permohonan reman dibenarkan selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Beliau turut memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis jamin kes akan disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang elemen cover-up
Malah beliau turut memberi jaminan pihak polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan mana-mana pihak tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta daripada orang ramai.
“Pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes itu.
“Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak.”
Kata Kumar, kes berkenaan masih lagi diperingkat siasatan selain turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun memberikan apa-apa komen yang boleh mengganggu proses siasatan mahupun memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.







