Proses pendaftaran projek usaha sama UUE ambil masa 2 tahun sebelum peroleh kontrak – RHB Research

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Proses pendaftaran projek usaha sama UUE ambil masa 2 tahun sebelum peroleh kontrak – RHB Research Image from: Proses pendaftaran projek usaha sama UUE ambil masa 2 tahun sebelum peroleh kontrak – RHB Research amree17/09/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 SeptUUE Holdings Berhad perlu melalui proses pendaftaran kontraktor yang boleh mengambil masa dua tahun sebelum usaha sama (JV) baharu dalam kerja-kerja pencawang elektrik voltan amat tinggi (EHV) dapat berkembang sepenuhnya, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut menerusi Kum Fatt Engineering (KFE) membentuk JV dengan EGP Infrastructure Investments (EGPII) dari Singapura bagi menjalankan kerja pencawang EHV berkapasiti 132-500kV di Malaysia dan membuka ruang memasuki segmen bernilai tinggi.

 

Ia melihat pembentukan JV itu secara positif kerana dapat meluaskan pasaran yang boleh diceburi UUE, daripada kerja pengagihan kabel bawah tanah voltan sederhana kepada segmen pencawang EHV yang mempunyai halangan kemasukan lebih tinggi.

 

"Modal berbayar awal berjumlah RM1 juta, dengan KFE memegang 40% manakala EGPII sebanyak 60%. EGPII, yang merupakan anak syarikat tidak langsung milik penuh EGP Energy, mempunyai hak melantik sehingga dua daripada tiga pengarah termasuk pengerusi," kata RHB Research.

 

Dalam JV berkenaan, EGPII akan mengetuai kerja reka bentuk, perolehan, pemasangan dan pentauliahan peralatan EHV, manakala KFE mengendalikan proses tender, urusan kawal selia, pematuhan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) serta pentadbiran.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, kerjasama dengan EGP membolehkan UUE memasuki segmen pencawang EHV dengan lebih pantas berbanding terpaksa membina dahulu kepakaran teknikal, rekod pengalaman dan akses kepada peralatan secara dalaman.

 

UUE_DagangNews2026

 

EGP membawa kepakaran dalam pencawang elektrik serta hubungan sedia ada dengan pengeluar peralatan asal (OEM) global. Rekod operasinya di Singapura turut dibina menerusi rangkaian elektrik bawah tanah sepenuhnya yang menggunakan teknologi gas-insulated switchgear* (GIS).

 

"JV berkenaan dijangka membida banyak projek daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan sektor swasta, termasuk kontrak pencawang masuk utama untuk pusat data (DC), dengan nilai kontrak pencawang kelazimannya melebihi RM100 juta," tambahnya.

 

Bagaimanapun, RHB Research berkata JV tersebut masih di peringkat awal dan perlu mendapatkan pendaftaran kontraktor serta disenaraikan sebagai vendor TNB. Dalam tempoh sementara, JV berkenaan berkemungkinan bekerjasama dengan kontraktor utama bagi mendapatkan projek.

 

Dari segi pembiayaan, modal akan disuntik mengikut keperluan dan UUE berpotensi membiayai bahagiannya melalui pinjaman bank serta hasil pelaksanaan waran, dengan 121.6 juta waran pada harga 59 sen, yang boleh menjana sehingga RM72 juta jika dilaksanakan sepenuhnya.

 

Sebarang penerbitan saham baharu melebihi sumber tersebut akan menyebabkan pencairan pegangan pemegang saham. Justeru RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham UUE tetapi menaikkan harga sasaran (TP) kepada 70 sen daripada 66 sen sesaham.

 

"Unjuran pendapatan dikekalkan kerana JV masih di peringkat awal, manakala TP itu mengambil kira diskaun ESG 4% berikutan skor ESG UUE sebanyak 2.8, dengan risiko utama termasuk kegagalan kontrak baharu, kelewatan kelulusan permit dan peningkatan kos bahan mentah," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved