amree15/09/2026 - 17:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept — UUE Holdings Berhad mengembangkan perniagaan ke segmen infrastruktur elektrik voltan ultra tinggi (EHV) dan voltan tinggi (HV) sehingga 500 kilovolt (kV) menerusi usaha sama (JV) dengan EGP Infrastructure Investments Pte Ltd (EGPII) dari Singapura.
Langkah strategik itu menyasarkan peluang projek infrastruktur grid tenaga dan pencawang elektrik berskala lebih besar, khususnya susulan peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data (DC), sektor perindustrian dan pemodenan grid elektrik negara.
Menerusi JV berkenaan, anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut, Kum Fatt Engineering Sdn Bhd (KFE), akan memegang 40% kepentingan dalam syarikat baharu dibentuk yang akan diperbadankan di Malaysia, manakala baki 60% dimiliki EGPII.
"Syarikat JV itu akan menyediakan rumusan infrastruktur grid secara turnkey dengan menggabungkan kepakaran teknikal EGPII dalam reka bentuk projek, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan elektrik," maklum UUE kepada Bursa Malaysia.
Keupayaan tersebut jelasnya, merangkumi peralatan elektrik antara 132kV hingga 400kV di Singapura, yang bersamaan dengan tahap voltan penghantaran sehingga 500kV di Malaysia, termasuk transformer kuasa, switchgear, kabel dan aksesori berkaitan.
Sementara UUE pula akan menyumbangkan kepakaran kejuruteraan utiliti bawah tanah tempatan, keupayaan pelaksanaan kerja awam serta pengalaman dalam penyelarasan kawal selia bagi menyokong pelaksanaan projek di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata, JV itu merupakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan bergerak ke segmen infrastruktur penghantaran EHV dan HV sehingga 500kV, sekali gus melengkapkan keupayaannya dalam rangkaian pengagihan kuasa bawah tanah.
"Gabungan kepakaran integrasi sistem EHV yang dimiliki kumpulan EGP Energy bersama-sama dengan keupayaan tempatan UUE akan meletakkan kumpulan ini pada kedudukan lebih baik untuk membida projek grid tenaga berskala besar," jelas beliau.
Menurutnya, grid elektrik Malaysia kini melalui kitaran pemodenan yang pesat susulan pertumbuhan permintaan elektrik daripada pusat data dan pengembangan sektor perindustrian, selain pelaburan Tenaga Nasional Berhad di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4).
Kerjasama itu juga menyasarkan penyediaan penyelesaian pencawang secara turnkey yang bersepadu dan disokong secara tempatan kepada utiliti nasional serta pemaju DC berskala besar, sekali gus menyediakan asas bagi platform jangka panjang dan peluasan pada masa depan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif EGP Energy, Frankie Fan, berkata usaha sama tersebut menjadi langkah pertama kumpulan itu dalam pengembangan ke luar negara, dengan Malaysia dilihat mempunyai kitaran pelaburan grid yang berpotensi berkembang secara berterusan. - DagangNews.com





