amree14/09/2026 - 12:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — Kerjaya Prospek Group Berhad meraih kontrak RM37.82 juta bagi kerja cerucuk dan substruktur projek pembangunan 922 unit pangsapuri mampu milik di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Tender itu diterima anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB), dengan kerja dijadualkan bermula 1 Oktober 2026 dan perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
Projek ini membabitkan pembinaan sebuah blok pangsapuri mampu milik setinggi 38 tingkat merangkumi pelbagai kemudahan, tempat letak kereta serta sebuah pencawang utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kontrak itu dianugerahkan pada harga sekali gus tetap dan dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan dalam tempoh dua tahun yang akan datang," maklum Kerjaya Prospek kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, ia akan mengukuhkan buku tempahan sedia ada kumpulan, selain dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028.
Penerimaan kontrak itu juga merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa anak syarikat dan dilaksanakan secara urus niaga pada asas bebas dan adil serta mengikut terma komersial biasa.

Namun ujar Kerjaya Prospek, transaksi ini diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) kerana PMSB merupakan subsidiari tidak langsung kepada Eastern & Oriental Berhad (E&O).
"Syarikat pemaju hartanah berkenaan, mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung menerusi pembabitan beberapa pengarah serta pemegang saham utama Kerjaya Prospek sendiri," katanya.
Antaranya, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Kerjaya Prospek, Datuk Seri Tee Eng Ho, merupakan Pengerusi Eksekutif E&O dan pemegang saham utama kedua-dua syarikat melalui kepentingan langsung.
Di samping itu jelas kumpulan berkenaan, Datin Seri Toh Siew Chuon dan Datuk Tee Eng Seng merupakan pengarah eksekutif serta pemegang saham utama dalam Kerjaya Prospek dan E&O sendiri.
Bagaimanapun, Kerjaya Prospek berkata, mandat untuk melaksanakan RRPT berkenaan sudah diperoleh daripada pemegang saham ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat diadakan pada 12 Jun 2026.
"Kontrak itu tidak memberi kesan kepada modal saham diterbitkan, dan dijangka menjana positif kepada prestasi kewangan sepanjang tempoh pelaksanaan projek sehingga 2028," katanya. - DagangNews.com






