Proses rasionalisasi subsidi RON95 akan diuruskan sepenuhnya oleh MoF - Rafizi

LocalPolitics
19 May 2025 • 6:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rafizi menyampaikan ucapan perasmian "JS-SEZ Partner Dialogue:Advancing Facilitation" pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai cadangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan (MoF) seperti yang diputuskan Kabinet, kata Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata, Kementerian Ekonomi telah mengadakan perbincangan dengan Kabinet selama empat kali berhubung perkara itu dan ketika ini sedang menunggu maklumat terkini seterusnya daripada MoF.

"MoF akan menguruskan keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini, dan saya rasa kita perlu menunggu pengumuman rasmi mereka. Seeloknya dapatkan butiran lanjut daripada MoF," katanya.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Rakan Dialog Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di sini, pada Isnin.

Pada Mac lepas, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, mekanisme bagi subsidi bersasar RON95 masih diperhalusi.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu membuat sebarang pengumuman awal mengenai pelaksanaannya pada masa itu dan pengumuman dijangka dibuat selepas separuh pertama tahun ini. - Bernama