Prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara dihenti serta-merta

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 11:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara dihenti serta-merta

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di universiti awam dihentikan serta-merta.

KPT memaklumkan, keputusan itu antara langkah segera diambil bagi memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa dalam kerangka perundangan sedia ada.

Katanya, langkah tersebut selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri 13 sebelum ini.

“Langkah-langkah yang memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan tanpa menunggu keseluruhan proses pembangunan dan penggubalan kerangka perundangan baharu selesai.

“Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera.

“Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPT, pengecualian itu melibatkan kebebasan menguruskan persatuan dan kelab serta aktiviti pelajar.

Selain itu, ia merangkumi kebebasan bersuara dan berhimpun, penggunaan platform komunikasi serta pengedaran dan penerbitan dokumen.

“Bagaimanapun, KPT menegaskan kebebasan berkenaan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selaras dengan keluhuran undang-undang.

“Perbuatan melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, KPT akan melaksanakan penelitian sama terhadap peruntukan berkaitan mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kedua-dua universiti berkenaan tidak tertakluk kepada AUKU, namun penelitian tersebut akan dibuat bagi menyelaraskannya dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.

“KPT terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pemegang taruh bagi memastikan penghasilan satu ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, golongan mahasiswa perlu diberi ruang kebebasan untuk bersuara sepenuhnya tanpa menghalang sebarang kegiatan di mana-mana institusi pengajian.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut dapat menjadikan institusi pengajian sebagai tempat percambahan pemikiran secara kritis.

Malah katanya, tindakan tersebut secara tidak langsung dapat memperkembangkan budaya keilmuan dalam kalangan mahasiswa. –UTUSAN

The post Prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara dihenti serta-merta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved