Prospek JHM Consolidation dalam jangka terdekat kekal mencabar akibat permintaan produk berkurang, projek baharu ditangguh – Kenanga Research
diyana
29/08/2023 - 11:43
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Prospek JHM Consolidation Bhd dalam jangka terdekat kekal mencabar berikutan permintaan produk semakin berkurangan dan projek baharunya ditangguh, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata JHM Consolidation menjangkakan persekitaran yang mencabar pada suku-suku berikutnya, terutamanya bagi segmen industri disebabkan oleh kelembapan permintaan untuk fabrikasi kepingan logam dan pemesinan kawalan berangka komputer (CNC), yang memenuhi keperluan industri semikonduktor.
Walaupun segmen automotif kekal agak stabil, firma itu berkata pelanggan kumpulan itu kurang cenderung untuk memberikan komitmen kepada jumlah pesanan yang lebih tinggi berikutan iklim ekonomi tidak menentu.
“Oleh itu, kumpulan itu akan terus mengusahakan proses kelayakan projek baharunya seperti: (i) perniagaan kedap kaca hermetik, (ii) kerjasama dengan Jiangsu Dekai Auto Parts Company Ltd bagi pemasangan lampu depan dan (iii) usaha sama dengan Mass Precision Inc untuk fabrikasi peralatan bahagian hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata keuntungan bersih JHM Consolidation dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menjunam 75% kepada RM3.7 juta, merangkumi hanya 17% dan 13% daripada ramalan tahun penuh firma dan konsensus, masing-masing.
Jelasnya, keputusan 1HFY23 kumpulan itu di bawah jangkaan berikutan kenaikan kos operasi dan overhed yang tidak diserap disebabkan oleh kadar penggunaan tidak optimum.
“Kami mengurangkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 10% dan 7%,” katanya.
Firma itu turut mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 70 sen daripada 75 sen tetapi mengekalkan saranan ‘market perform’.
Risiko kepada saranan Kenanga Research termasuk: (i) kemerosotan lagi prospek ekonomi global, menjejaskan permintaan bagi komponen daripada sektor semikonduktor dan automotif; (ii) peningkatan kos pengeluaran dan (iii) produk baharu gagal mencapai pengeluaran besar-besaran lebih awal.
Setakat pukul 11:40 pagi, saham JHM Consolidation naik 1.5 sen atau 2% kepada 78.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM475.7 juta. - DagangNews.com

