Prospek KPJ Healthcare diramal positif didorong persekitaran ekonomi menggalakkan - penganalisis

LocalBusiness & Finance
29 Aug 2025 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek KPJ Healthcare diramal positif didorong persekitaran ekonomi menggalakkan - penganalisis

image is not available

29/08/2025 - 09:28

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Prospek jangka panjang KPJ Healthcare Berhad diramal positif, disokong persekitaran ekonomi yang menggalakkan serta perkembangan peraturan yang memberikan kejelasan kepada industri penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.

MBSB Research optimis apabila ekonomi negara berkembang pesat, ia akan mendorong peningkatan perbelanjaan isi rumah dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta dan ia sesuatu yang selari dengan model perniagaan KPJ yang bergantung kepada kemasukan pesakit serta rawatan jangka panjang.

Katanya, antara perkembangan utama ialah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangguhkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) ke tahun 2027.

Firma penyelidikan itu berkata, sistem itu sebelum ini dibimbangi akan membawa ketidakstabilan hasil kepada penyedia penjagaan kesihatan swasta dan kini penangguhan itu dilihat sebagai peluang untuk KPJ menstabilkan operasi dan merancang peralihan dengan lebih teratur.

“Penangguhan DRG memberi ruang kepada KPJ untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran tanpa tekanan perubahan mendadak.

“Keputusan itu membantu mengurangkan ketidakpastian yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research berkata, pada masa sama KPJ meneruskan usaha perluasan operasi termasuk pelancaran hospital terbaharu, KPJ Kuala Selangor.

Katanya, walaupun hospital baharu dijangka mencatatkan kerugian permulaan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun pertama namun ia dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang.

"Kami menurunkan penarafan kepada "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.65 sesaham," katanya.

Sementara itu, RHB Research menyukai KPJ kerana kisah pemulihannya yang kukuh serta peranannya sebagai proksi utama kepada pertumbuhan pesat sektor penjagaan kesihatan swasta dalam negara.

Firma penyelidikan itu menjangkakan minat pelabur terhadap aset penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kekal kukuh, didorong oleh perubahan struktur kekal akibat penuaan populasi.

Dalam pada itu katanya, skim DRG di bawah model insurans takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) adalah tidak wajib untuk hospital swasta dan orang awam (kerana mungkin bertindih dengan pelan insurans perubatan sedia ada) dan kementerian sebelum ini mencadangkan agar premium MHIT dibiayai melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, pelancaran sistem DRG kebangsaan menjelang tahun 2027 juga berdepan ketidaktentuan, terutamanya dengan mengambil kira hala tuju menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM3.05 sesaham," katanya.- DagangNews.com

featured standard