Prospek pendapatan Hiap Teck disokong pemulihan industri keluli, kata HLIB

01/10/2025 - 09:21
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Okt - Prospek pendapatan Hiap Teck Venture Berhad diunjur positif dipacu pemulihan dalam industri keluli serta permintaan yang baik dalam sektor pembinaan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 36 sen sesaham, berikutan pertumbuhan yang lebih jelas serta asas penilaian yang menarik.
Pandangan positif itu disokong penstabilan harga keluli dan peningkatan operasi rakan usaha samanya, Eastern Steel Sdn Bhd.
"Pengurusan kini lebih optimis terhadap prospek pendapatan jangka pendek, disokong unjuran harga keluli yang lebih baik selepas pengumuman terbaru China mengenai pelan tindakan baharu industri keluli,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagi tahun kewangan berakhir Julai 2025 (FY25), untung bersih teras Hiap Teck meningkat 11% kepada RM101.8 juta, sebahagian besarnya didorong sumbangan lebih kukuh daripada Eastern Steel.
Pendapatan rakan usaha samanya itu melonjak 81% tahun ke tahun kepada RM126.7 juta, hasil daripada peningkatan output relau letupan baharu, permulaan pengeluaran hot-rolled coil (HRC), serta kos pengeluaran yang lebih rendah.
Kilang Eastern Steel kini mencapai kira-kira 70% kadar penggunaan kapasiti, dengan sasaran untuk mencecah 90% menjelang akhir 2025.
Sementara itu, operasi perdagangan dan hiliran kekal suram akibat kesan peralihan daripada lanjutan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Namun, pihak pengurusan Hiap Teck menjangkakan pemulihan bermula awal 2026.
"Jualan yang perlahan di segmen perdagangan dan hiliran dijangka pulih, disokong oleh pelaksanaan beberapa projek infrastruktur termasuk Skim Bekalan Air Utara Perak," katanya.- DagangNews.com
standard


