Prospek pendapatan IOI Corp suram berikutan jangkaan pasaran huluan dan hiliran lemah – Kenanga Research

Business & Finance
23 Aug 2023 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pendapatan IOI Corp suram berikutan jangkaan pasaran huluan dan hiliran lemah – Kenanga Research

diyana

23/08/2023 - 10:57

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Prospek pendapatan IOI Corp Berhad suram berikutan jangkaan pasaran huluan dan hiliran lemah, kata Kenanga Research sambil mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM3.80.

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih kumpulan sebanyak RM398 juta dalam FY23 memenuhi unjurannya dan dan anggaran konsensus.

Walaupun menghadapi FY23 yang mencabar, firma itu berkata IOI Corp masih berjaya menurunkan penggearan bersih, daripada 33% pada Jun 2022 kepada 14% pada masa ini, namun, dividen akhir telah dipotong daripada 8 sen setahun lalu kepada 5 sen, mencerminkan prospek yang lebih berhati-hati.

Mengulas mengenai prospek huluan yang lemah pada masa akan datang, Kenanga Research berkata penambahbaikan bekalan minyak makan telah menjejas harga sejak pertengahan 2022, namun keseimbangan bekalan-permintaan adalah rapuh disebabkan permintaan yang semakin pulih.

Sementara itu, tambahnya, El Nino kian menghampiri untuk berlaku dan jika kesannya teruk, boleh mengganggu bekalan pada 2024.

“Oleh itu, harga minyak sawit mentah (MSM) harus kekal kukuh dan kami menaikkan purata ramalan MSM bagi IOI Corp daripada RM3,700 kepada RM3,900 setiap tan metrik bagi FY24.

“Sementara itu, kos berada pada tahap tertinggi disebabkan oleh inflasi upah dan harga isirung sawit yang tidak memberangsangkan, yang dijual untuk mengimbangi kos pengeluaran MSM.

“Bagaimanapun, produktiviti lapangan yang lebih baik (hasil buah tandan segar), kos input yang lebih rendah (terutamanya baja) dan tenaga (diesel) akan mengurangkan kos sedikit demi sedikit bergerak ke hadapan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Kenanga Research berkata pasaran hiliran berkemungkinan terus mencabar memandangkan ia boleh menjadi lebih sensitif kepada tekanan ekonomi.

Walaupun tumpuan hiliran IOI Corp pada produk khusus dan tersuai menarik harga dan margin yang lebih baik, sumbangan hiliran keseluruhan berkemungkinan kekal perlahan.

Selain daripada permintaan yang lebih lemah, firma itu berkata operasi IOI Corp di Eropah kelihatan bakal menghadapi tekanan kenaikan gaji dan tenaga.

Firma itu mengekalkan harga sasaran walaupun keuntungan bersih IOI Corp bagi tahun kewangan 2024 (FY23) disemak naik sebanyak 5% disokong harga minyak sawit mentah lebih kukuh dan kos lebih mudah.

Pada waktu penulisan, saham IOI Corp susut 10 sen atau 2.5% kepada RM3.95 dengan permodalan pasaran berjumlah RM24.8 bilion. - DagangNews.com