Prospek sektor tenaga boleh diperbaharui terus disokong pelaksanaan projek solar skala besar, kata Phillip Capital

14/04/2025 - 14:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 April - Pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) kekal kukuh dan terlindung daripada ketidaktentuan semasa, sekali gus menjadikannya pilihan pelaburan yang baik untuk kepelbagaian portfolio, kata Phillip Capital.
Sektor itu dijangka meraih manfaat daripada pelaksanaan beberapa program solar berskala besar (LSS), termasuk LSS5 (2 gigawatt (GW)), LSS5+ (2GW), dan tender LSS6 yang sangat dinantikan.
“Pemberian kontrak LSS5 telah bermula dan dijangka akan terus rancak dalam beberapa bulan akan datang, manakala penganugerahan LSS5+ dijangka berlaku menjelang akhir 2025,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menganggarkan, baki peruntukan LSS5 berpotensi membuka peluang kerja jurutera, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tambahan bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion yang dijangka dianugerahkan tahun ini.
Ia turut menjangkakan pelaksanaan berterusan inisiatif hijau yang disokong kerajaan dan lonjakan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui akan memberi manfaat kepada syarikat seperti Solarvest Holdings Bhd, BM Greentech Bhd dan Pekat Group Bhd.
“Kami mengulangi saranan "overweight" terhadap sektor ini, disokong oleh inisiatif peralihan tenaga negara yang bercita-cita tinggi dan barisan tender yang kukuh yang mendorong pertumbuhan pendapatan sektor antara 22% hingga 52% sepanjang 2025-2026,” katanya.
Firma itu berkata, penilaian sektor itu masih rendah, dengan dagangan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan tahun 2026 sebanyak 17 kali — jauh di bawah nisbah 30-38 kali yang dicatatkan semasa penganugerahan LSS4 sebelum ini.
Phillip Capital berkata, Solarvest muncul sebagai penerima manfaat awal dalam program LSS5 setelah dianugerahkan kontrak bernilai RM504 juta, menjadikan jumlah buku pesanan syarikat itu mencecah RM1.4 bilion.
“Ini bersamaan dengan liputan 3.1 kali ganda daripada hasil tahun kewangan 2024 (FY24), tertinggi berbanding rakan-rakannya iaitu Pekat (2 kali), Samaiden (2.3 kali), dan Sunview (0.9 kali),” katanya.
Phillip Capital juga menyatakan, Solarvest dianugerahkan kontrak EPCC berjumlah 530 megawatt (MW) dan kapasiti diluluskan sebanyak 60MW di bawah model pemilikan aset melalui anak syarikat milik 60%.
“Solarvest merupakan penerima utama manfaat daripada pelaksanaan berterusan projek solar berskala utiliti.
"Disokong rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh dan pegangan pasaran terbesar sebanyak 30% dalam projek LSS, kami percaya Solarvest akan terus memperoleh lebih banyak kontrak di bawah tender EPCC solar yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Samaiden memiliki buku tender bernilai RM1.8 bilion, di mana 80% terdiri daripada projek EPCC solar, termasuk beberapa bidaan di bawah LSS5, LSS5+ dan program sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Sunview pula mempunyai buku tender bernilai RM1 bilion, termasuk tiga projek di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan 330MW projek LSS5.
Phillip Capital turut menyatakan, dalam kalangan syarikat RE, Solarvest, Pekat dan Samaiden menonjol dengan pegangan saham institusi tertinggi masing-masing sebanyak 49%, 30%, dan 18%.
“Ini sebahagiannya disebabkan kehadiran awal mereka dalam pasaran dan rekod prestasi yang terbukti. Pegangan saham institusi bagi BM Green pula hanyalah 1%, berdasarkan data terkini pada Jun 2024,” katanya.
Melangkah ke hadapan, firma penyelidikan itu melihat ruang untuk penilaian sektor meningkat sejajar dengan faktor pemangkin utama tahun ini, termasuk pelaksanaan berterusan kontrak LSS5, peruntukan kuota LSS5+, dan pelancaran bidaan LSS6 yang dinanti-nantikan.
Selain itu, ia menyatakan, penggunaan solar atas bumbung dijangka akan dipercepatkan, disokong oleh pelepasan kuota secara berkala di bawah program Net Energy Metering dan inisiatif baharu Community Renewable Energy Aggregation Mechanism yang dijangka dibuka pada Jun 2025. - DagangNews.com
standard


