Sektor teknologi diyakini naik semula selepas Amerika Syarikat kecualikan tarif - penganalisis

14/04/2025 - 11:25
Gambar: Freepik Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 April - Pengecualian terbaharu terhadap tarif import elektronik secara besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) berpotensi memberikan kelegaan dalam sektor teknologi Malaysia dalam jangka masa terdekat, kata penganalisis.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, langkah tersebut akan membantu meredakan kebimbangan terhadap rantaian bekalan global, memandangkan pengeluar kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk memindahkan atau mempelbagaikan barisan pengeluaran dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.
“Berdasarkan semakan, kebanyakan produk teknologi tempatan dan produk akhir pelanggan juga termasuk dalam senarai pengecualian.
“Susulan perkembangan itu, kami menjangkakan momentum positif dalam saham teknologi tempatan hari ini kerana tekanan ketidaktentuan telah berkurangan,” katanya dalam satu nota kajian.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) juga berkongsi pandangan sama, namun memberi amaran tentang potensi risiko sekiranya tarif dikenakan semula pada masa hadapan serta kemungkinan penurunan unjuran pendapatan dan harga sasaran akibat asas sektor yang semakin lemah.
HLIB juga memaklumkan, China telah menyemak semula peraturan import cipnya, dengan mentakrifkan semula negara asal berdasarkan lokasi fabrikasi.
“Kami berpandangan bahawa perubahan dasar ini boleh menjadi kebimbangan kepada pembekal frekuensi radio (RF) AS seperti Broadcom (dan seterusnya Inari Amertron Bhd), yang mungkin terdedah kepada tarif sebanyak 125% ke atas cip keluaran AS yang diimport untuk pemasangan iPhone di China.
“Namun begitu, kekurangan alternatif dan kos komponen RF yang relatif kecil menunjukkan bahawa sebarang peningkatan harga masih boleh diuruskan, walaupun tidak dapat dielakkan,” katanya.
CIMB Securities berkata, pengecualian tarif itu adalah perkembangan positif bagi sektor semikonduktor dan sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia secara keseluruhan.
Ia berkata, langkah tersebut dijangka dapat mengelakkan kenaikan mendadak dalam harga jualan purata bagi peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer, komputer riba dan pelayan, sekali gus mengurangkan risiko kelembapan permintaan.
“Dalam kalangan pemain tempatan, kami percaya Inari Amertron, Unisem, dan ViTrox paling berpotensi untuk meraih manfaat daripada pengecualian tarif ini memandangkan pendedahan mereka yang agak tinggi kepada segmen telefon pintar dan PC.
“Kami menganggarkan Inari mempunyai pendedahan tertinggi, dengan lebih 60% daripada hasilnya berasal daripada segmen ini, diikuti oleh Unisem (M) Bhd sebanyak 40%, dan ViTrox Corp Bhd sebanyak 20%,” katanya.
Firma itu berkata, tarif sedia ada sebanyak 20% ke atas import dari China masih kekal, manakala risiko tetap wujud susulan amaran Trump mengenai kemungkinan pengenaan tarif tambahan ke atas sektor semikonduktor.
“Sebarang langkah sedemikian yang menyasarkan industri semikonduktor Malaysia boleh menjejaskan syarikat multinasional AS yang mempunyai operasi pengilangan di negara ini. Kami mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor teknologi Malaysia,” katanya. - DagangNews.com
standard


