liza02/11/2026 - 13:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Prosper Trading Sdn Bhd bersama dua pihak lain menawarkan skim pampasan tunai kepada pemegang saham United Malacca Bhd yang menjual saham mereka pada harga lebih rendah daripada RM6.10 sesaham dalam tempoh 26 September 2024 hingga 9 Oktober 2026.
Skim itu diperkenalkan susulan peningkatan pegangan saham terkumpul Prosper Trading, dua pihak yang membuat tawaran bersama serta individu yang bertindak bersama mereka (PAC) melebihi ambang 33% pada 26 September 2024, sekali gus mencetuskan kewajipan tawaran pengambilalihan mandatori.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, United Malacca berkata skim berkenaan bertujuan memberi pampasan kepada pemegang saham yang menjual pegangan mereka pada harga lebih rendah daripada harga tawaran pengambilalihan RM6.10 sesaham.
Peningkatan pegangan saham terkumpul Prosper Trading berlaku apabila jumlah saham yang dimiliki meningkat daripada 68.45 juta saham atau 32.63% kepada 70.68 juta saham bersamaan 33.70% daripada jumlah saham terbitan United Malacca.
Pampasan berdasarkan perbezaan harga jualan
Jumlah pampasan akan dikira berdasarkan perbezaan antara harga tawaran RM6.10 sesaham dengan harga jualan sebenar saham, didarabkan dengan jumlah saham yang dijual.
Sebagai contoh, pemegang saham yang menjual 10,000 saham pada harga RM5.50 sesaham layak menerima pampasan sebanyak RM6,000, tertakluk kepada pengesahan dan kelulusan tuntutan.
Kelayakan itu meliputi pemegang saham berdaftar yang namanya tercatat dalam rekod pendeposit United Malacca pada 26 September 2024, serta pemilik benefisial yang membeli saham antara 9 pagi pada 25 September 2024 hingga 5 petang pada 26 September 2024.
Bagaimanapun, skim itu hanya melibatkan saham yang dijual dalam tempoh pampasan bermula 9 pagi pada 26 September 2024 hingga 5 petang pada 9 Oktober 2026 pada harga di bawah RM6.10 sesaham.
Prosper Trading turut menjelaskan bahawa pembelian tambahan saham United Malacca selepas 26 September 2024 tidak layak menerima pampasan di bawah skim berkenaan.
Tuntutan perlu dikemukakan sebelum 17 Disember
Pemegang saham yang layak perlu melengkapkan borang tuntutan berserta dokumen sokongan seperti nota kontrak jualan saham atau penyata bulanan akaun sekuriti yang disahkan oleh firma sekuriti masing-masing.
Bagi pemilik benefisial, mereka juga perlu mengemukakan nota kontrak pembelian saham bagi membuktikan kelayakan sebagai pemegang saham dalam tempoh yang ditetapkan.
Semua tuntutan perlu diterima oleh Boardroom Share Registrars Sdn Bhd selewat-lewatnya pada 5 petang, 17 Disember 2026, iaitu tarikh tutup pertama skim pampasan tunai berkenaan.
Dokumen itu menyatakan pembayaran akan dibuat dalam tempoh 10 hari selepas tarikh tutup skim, tertakluk kepada pengesahan dan kelulusan tuntutan. Bayaran akan disalurkan ke akaun eDividen pemegang saham yang berdaftar dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.
Bagi pemegang saham yang tidak mempunyai akaun eDividen, pembayaran akan dibuat melalui cek, draf bank atau kiriman juruwang yang dihantar menggunakan pos biasa.
Prosper Trading dan dua pihak lain turut mengesahkan mempunyai sumber kewangan mencukupi melalui dana yang dijana secara dalaman bagi memenuhi semua tuntutan sah di bawah skim itu.
Bagaimanapun, pampasan berkenaan tidak meliputi kos broker, duti setem atau kos sampingan lain yang ditanggung pemegang saham ketika menjual saham mereka.. - DagangNews.com





