amree12/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt – Prosper Trading Sdn Bhd (PTSB) mengambil alih 28.19 juta saham United Malacca Berhad, mewakili 13.44% pegangan dalam syarikat perladangan itu, daripada Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad pada harga RM171.93 juta atau RM6.10 sesaham.
Susulan pengambilalihan itu, PTSB dengan dua pihak yang menawarkan secara bersama, Tee Kim Tee @ Tee Ching Tee dan Tee Cheng Hua, diwajibkan membuat tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham yang belum dimiliki mereka serta pihak yang bertindak bersama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, lembaga pengarahnya menerima notis skim pampasan tunai daripada firma UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd (UOBKH) pada 12 Oktober 2026, yang bertindak bagi pihak PTSB dan kedua-dua pihak berkenaan.
"Skim pampasan ini bertujuan menyelaraskan kedudukan susulan pegangan saham kolektif pihak terbabit melebihi ambang 33% pada 26 September 2024, yang mencetuskan kewajipan tawaran pengambilalihan secara mandatori mengikut peraturan pasaran modal," jelas United Malacca.
Ujarnya lagi, tawaran pengambilalihan mandatori tersebut melibatkan baki sebanyak 109.80 juta saham kumpulan berkenaan, yang bersamaan kira-kira 52.34% daripada jumlah saham diterbitkan, dengan harga tawaran tunai iaitu RM6.10 sesaham.
Di bawah skim pampasan tunai tersebut, pemegang saham yang layak boleh menuntut perbezaan antara harga tawaran RM6.10 sesaham dengan harga jualan sebenar sekiranya saham kumpulan itu dijual pada harga lebih rendah dalam tempoh pampasan yang ditetapkan.

Tempoh pampasan meliputi penjualan saham United Malacca dari 9 pagi, 26 September 2024 hingga 5 petang, 9 Oktober 2026. Bagaimanapun kelayakan tertakluk kepada syarat skim, termasuk status pemegang saham atau pemilik benefisial yang memenuhi kriteria ditetapkan.
"Pemegang saham berdaftar perlu dikenal pasti dalam Rekod Pendeposit pada 26 September 2024, manakala pemilik benefisial yang layak ialah mereka yang membeli saham kumpulan ini antara 9 pagi, 25 September 2024 hingga 5 petang, 26 September 2024," tambahnya.
Di samping itu, pihak yang bertindak secara bersama dengan penawar pengambilalihan tersebut tidak layak menerima pampasan berkenaan. Saham tambahan yang kemudian dibeli selepas 26 September 2024 juga tidak termasuk dalam skim pampasan tersebut.
Dokumen pampasan dan borang tuntutan akan diedarkan United Malacca selepas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan tiada ulasan lanjut. Pemohon perlu mengemukakan tuntutan sah dengan dokumen sokongan seperti nota kontrak jual beli saham yang disahkan.
Skim pampasan itu dijangka ditutup pada 5 petang, 17 Disember 2026, iaitu 45 hari selepas tarikh penghantaran dokumen pampasan. PTSB dan pihak yang menawarkan bersama mengesahkan ada sumber kewangan cukup untuk membayar sepenuhnya semua tuntutan, tertakluk kepada syarat skim. - DagangNews.com






