Protasco catat keuntungan bersih RM26.13 juta pada FY24, kata RHB Research

19/05/2025 - 12:06
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat kejuruteraan dan perkhidmatan infrastruktur, Protasco Bhd mencatat keuntungan bersih RM26.13 juta pada FY24, meningkat berbanding RM6.68 juta pada FY23.
Pendapatannya juga naik daripada RM1.13 bilion kepada RM1.31 bilion.
RHB Research berkata, syarikat masih berada dalam kedudukan tunai bersih dan dijangka akan terus mengukuhkan kedudukan kewangannya.
"Kami menjangkakan kedudukan kewangan yang lebih kukuh hasil daripada penjualan unit pendidikan dan peningkatan keuntungan bermula FY25," katanya dalam satu laporan bertajuk '20 Jewels 2025 Edition'.
RHB Research menetapkan harga sasaran saham Protasco antara 60 sen hingga 72 sen sesaham, yang menunjukkan potensi kenaikan antara 126% hingga 171%.
"Selepas kejayaan pemulihan pendapatan pada FY24, kami menjangka satu lagi lonjakan besar dengan keuntungan FY25 dijangka meningkat kepada RM29 juta," jelasnya.
RHB Research meramalkan pemulihan pendapatan yang kukuh hasil pertumbuhan stabil dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembinaan, serta penjualan segmen pendidikannya yang sebelum ini kurang memberangsangkan.
Menurutnya, Protasco kini mempunyai buku pesanan kerja bernilai RM200 juta, yang banyak disumbangkan oleh projek naik taraf jalan persekutuan di Kulim, Kedah dan dijangka dapat mengekalkan pendapatan hingga tahun 2026.
Namun, kerana buku tender bernilai RM2 bilion syarikat banyak tertumpu kepada projek kerajaan, firma penyelidikan itu hanya menganggarkan penambahan buku pesanan sebanyak RM250 juta setahun untuk FY25 dan FY26.
Protasco juga dijangka mendapat manfaat daripada pelarasan kadar baharu untuk kerja penyelenggaraan jalan berkala, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada suku keempat FY24.
"Kadar baharu ini dijangka meningkatkan margin keuntungan kasar, menyokong keuntungan keseluruhan dan memberikan pendapatan berulang yang stabil.
"Kesan penuh pelarasan kadar ini akan dilihat pada FY25 selepas sedikit peningkatan dalam 4Q24," kata RHB Research.
Pendapatan bersih Protasco dijangka meningkat susulan penjualan 90% kepentingan dalam unit pendidikan miliknya pada bulan April lalu dengan nilai RM27 juta, yang dijangka memberi kesan positif kepada keuntungan keseluruhan selepas dikeluarkan daripada penyata kewangan kumpulan.
Bahagian hartanah pula menunjukkan tanda pemulihan dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang FY26.
RHB Research percaya, Protasco akan mendapat manfaat daripada potensi peningkatan perbelanjaan kerajaan berkaitan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dengan pegangan konsesi penyelenggaraan jalan sepanjang 15,000 kilometer dan buku pesanan bernilai RM1.5 bilion dalam segmen berkenaan, Protasco berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang tersebut. - DagangNews.com
standard
