
KUALA LUMPUR 19 Dis – Protasco Berhad meneruskan peranan dalam penyelenggaraan jalan persekutuan di wilayah tengah dan timur menerusi perjanjian interim selama 12 bulan, sementara menunggu keputusan kerajaan mengenai pelantikan konsesi baharu.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikatnya, Roadcare (M) Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian interim dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan melibatkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Menurut Protasco, konsesi sedia ada yang dipegang oleh Roadcare bagi kawasan berkenaan akan tamat pada 16 Februari 2026.
Susulan itu, perjanjian interim tersebut akan berkuat kuasa mulai 17 Februari 2026 hingga 16 Februari 2027.
“Perjanjian interim ini dimeterai sementara menunggu keputusan kerajaan Malaysia berhubung pemilihan syarikat bagi kerja-kerja penyelenggaraan, serta pemuktamadan perjanjian konsesi baharu,” katanya.
Di bawah perjanjian interim berkenaan, Roadcare akan terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut terma dan syarat yang sama seperti perjanjian konsesi utama sebelum ini.
Langkah itu membolehkan kesinambungan penyelenggaraan jalan persekutuan di wilayah terlibat berjalan tanpa gangguan, selain memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek kepada Protasco sementara proses pelantikan konsesi baharu dimuktamadkan. - DagangNews.com



