Protes di Kedutaan Malaysia: Anwar nafi campur tangan konflik Thailand-Kemboja

LocalPolitics
23 Nov 2025 • 12:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Malaysia ‘campur tangan’ dalam cara Thailand mengendalikan pertikaiannya dengan Kemboja, sebaliknya hanya memudahkan perbincangan secara baik.

Ia susulan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok, semalam, yang menuduh Anwar dalam kapasitinya sebagai pengerusi Asean, mencampuri usaha Thailand memperjuangkan kedaulatannya.

"Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai jiran, kita sememangnya prihatin, tetapi kita tidak terlibat dan juga tidak memberikan sebarang preskripsi tertentu tentang kaedah yang perlu untuk mencapai penyelesaian," kata beliau kepada wartawan pada sidang media di Hotel Sandton, Johannesburg hari ini.

“Kita telah memudahkan dua perkara. Pertama, ketua angkatan tentera bertemu rakan sejawat. Kedua, kementerian Luar menghubungi pihak mereka.

“Saya juga sudah menghubungi kedua-dua perdana menteri dan bertanya sama ada mereka boleh bercakap. Mereka kemudian memutuskan parameter dan isu-isu. Selepas itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga bercakap dengan mereka.

“Jadi, tidak benar bagi sesetengah pihak di Thailand – saya tidak tahu politik tempatan mereka – untuk mencadangkan kita mencampuri urusan mereka. Kita sama sekali tidak mencampuri urusan mereka.

“Thailand dan Kemboja mempunyai legitimasi, keupayaan dan hak kedaulatan untuk menyelesaikan masalah negara itu sendiri, dan Malaysia menghormati perkara itu sepenuhnya,” katanya.

Anwar berkata, ia memerlukan usaha untuk pihak bertelagah bersetuju dengan parameter Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 baru-baru ini, namun keputusan akhir terletak pada Thailand dan Kemboja.

“Apabila saya mempengerusikan mesyuarat (antara pihak berkenaan), saya terangkan perkara itu dengan sangat jelas,” katanya.

Memetik laporan Bangkok Post, penunjuk perasaan juga sanggup berarak ke Kedutaan AS di ibu negara kerana percaya Washington secara tidak adil mengaitkan rundingan perdagangan dengan hak kedaulatan Thailand untuk melindungi wilayahnya.

Penunjuk perasaan mendakwa Anwar melangkaui peranannya sebagai pengerusi Asean apabila dikatakan mengarahkan Thailand menghentikan operasi sempadannya, dan juga mendakwa Malaysia dan AS cuba memberi pengaruh tidak wajar terhadap keputusan negara itu. - 23 November, 2025

The post Protes di Kedutaan Malaysia: Anwar nafi campur tangan konflik Thailand-Kemboja appeared first on Scoop.