
Sebanyak 400 hingga 500 sekolah menengah di Perancis dijangka ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya pada Isnin susulan gelombang protes pelajar yang semakin meluas di negara itu.
Menteri Pendidikan Perancis, Edouard Geffray berkata, sesi persekolahan akan digantung sepenuhnya atau sebahagian di sekolah terbabit kerana keadaan keselamatan belum memenuhi tahap yang diperlukan.
Katanya, sebanyak 24 sekolah telah dibakar atau diceroboh sejak gerakan protes berkenaan bermula.
“Keadaan keselamatan tidak dipenuhi,” katanya pada Ahad sambil menjelaskan penutupan itu terutama sebagai langkah berjaga-jaga menjelang protes berskala besar yang dirancang pada Selasa.
Menurut Geffray, jumlah sekolah yang terjejas pada Isnin dijangka hampir sama seperti Jumaat lalu, namun beliau memberi jaminan proses pembukaan semula secara berperingkat akan dilaksanakan.
Di wilayah Ile-de-France yang merangkumi kawasan sekitar ibu negara, lebih satu pertiga daripada 468 sekolah dijangka ditutup pada Isnin susulan protes berkenaan, menurut Presiden wilayah itu, Valerie Pecresse kepada penyiar Franceinfo.
Pelajar Pertikai Keadaan Sekolah
Gerakan protes itu bermula di sebuah sekolah di Paris pada 17 September lalu sebelum berkembang menjadi demonstrasi di seluruh negara pada minggu berikutnya.
Pelajar sekolah menengah atau lycees mendakwa pendidikan mereka terjejas akibat kadar ketidakhadiran guru yang tinggi, waktu persekolahan yang terlalu panjang serta keadaan kemudahan sekolah yang uzur, selain beberapa isu lain.
Di Saint-Denis, utara Paris, pelajar mengambil bahagian dalam pertemuan terbuka pada Ahad bagi menyuarakan pelbagai tuntutan mereka.
Seorang pelajar mendakwa keganasan lebih mudah berlaku terhadap pelajar dari kawasan kurang berkemampuan.
Seorang lagi pelajar berusia 16 tahun, Campion, membawa plakad tertera mesej yang mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan kekerasan terhadap pelajar.
Sementara itu, Geffray mendakwa gerakan berkenaan telah disusupi kumpulan berhaluan kiri yang menurutnya cuba mengambil alih gerakan tersebut dan terlibat dalam keganasan melampau.
Katanya, keadaan itu menimbulkan risiko terhadap keselamatan kakitangan dan pelajar, selain 78 warga pendidikan dilaporkan mengalami kecederaan.
Menurutnya, sebahagian daripada mereka didakwa menjadi sasaran kerana bekerja dalam sistem pendidikan negara.
Kerajaan Umum Langkah Tangani Tuntutan
Penganjur protes menggesa demonstrasi diteruskan pada Selasa dengan alasan kerajaan masih belum mengambil langkah konkrit bagi menangani tuntutan mereka.
Dalam usaha menangani kebimbangan pelajar, Perdana Menteri Sebastien Lecornu pada Ahad menggariskan jadual tindakan yang menggesa pihak berkuasa tempatan memberi keutamaan kepada pengisian kekosongan akibat ketidakhadiran guru berpanjangan serta jawatan yang masih belum diisi.
Beliau turut menjadualkan pertemuan dengan pemimpin wilayah pada Selasa bagi membincangkan usaha menaik taraf bangunan sekolah yang dilaporkan uzur.
Lebih 5,000 Ditahan
Sejak gerakan itu bermula, lebih 5,000 individu, dengan 85 peratus daripadanya adalah bawah umur, telah ditahan.
Pada Ahad, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan berhubung dakwaan menyerang seorang guru di bandar La Ciotat, selatan Perancis.
Guru berusia 59 tahun itu dilaporkan dipukul dan disimbah petrol ketika protes pelajar sekolah menengah pada Jumaat.
Dalam kejadian berasingan di Belfort, timur Perancis, sekumpulan remaja dirakam memukul dan menendang seorang anggota polis yang terjatuh sehingga mencetuskan kecaman pihak berkuasa.
Dua remaja warga Bulgaria berusia 15 dan 17 tahun ditahan serta disiasat atas dakwaan melakukan keganasan yang diperberatkan.
Sementara itu, Amnesty International cawangan Perancis mengkritik apa yang disifatkannya sebagai penggunaan kekerasan polis secara tidak seimbang ketika mengendalikan demonstrasi.
Presiden Amnesty France, Anne Savinel-Barras berkata, pelajar perlu diberikan ruang untuk menyuarakan tuntutan mereka tanpa berdepan tindakan seperti tembakan gas pemedih mata, penggunaan baton atau penahanan secara sewenang-wenangnya.
Baca juga:Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez menegaskan pasukan keselamatan bukan bertindak terhadap golongan muda, sebaliknya melindungi pelajar sekolah dan universiti yang mahu menyuarakan tuntutan mereka secara aman.





