
PETALING JAYA: Bedah siasat terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu, tidak menemukan sebarang kesan perlakuan seksual.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Laporan awal telah kita peroleh dan tiada kesan perlakuan seksual berlaku seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat atau gambar mangsa dan suspek kerana kedua-duanya masih di bawah umur.
Menurutnya, larangan berkenaan termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
“Perkara seumpama ini susah untuk dikawal tetapi kita kena jangan sebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
Sabtu lalu, pelajar Tingkatan Empat itu ditemukan maut di dalam sebuah dewan sekolah berkenaan dalam kejadian yang disyaki membabitkan pembunuhan.
Mangsa ditemukan neneknya yang datang ke sekolah selepas menyedari cucunya belum pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab. – UTUSAN
The post Pelajar 16 tahun maut dibunuh: Bedah siasat tiada kesan seksual appeared first on Utusan Malaysia.






