Protest WTCKL: Perdana Menteri digesa tamatkan perkhidmatan Azam Baki - Armada Bersatu

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 11:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Harris Idaham dan Azam Baki (kanan)

SHAH ALAM – Insiden bantahan terhadap isu integriti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Selasa disifatkan sebagai petanda jelas bahawa kredibiliti institusi berkenaan semakin terjejas.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid berkata, kejadian itu juga menunjukkan masyarakat kini semakin sedar dan berani menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

“Tindakan tiga individu tersebut mendesak supaya Azam Baki ditangkap adalah mewakili sejumlah besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap institusi kerajaan khususnya SPRM di bawah kepimpinan beliau.

“ARMADA menegaskan bahawa Perdana Menteri harus menamatkan perkhidmatan Azam Baki secepat mungkin kerana defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi itu kian hari kian merudum,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba pada petang Selasa.

Bantahan secara aman dan senyap itu dilakukan dipercayai berhubung kontroversi pemilikan saham dan isu korporat mafia SPRM.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjong yang tertera tulisan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Azam Baki Simbol Reformati’ ketika ucaptama sedang berlangsung.

Tindakan tersebut dilakukan ketika Ketua SPRM sedang menyampaikan ucapan pada program berkenaan.

Ujar Harris Idaham, isu berkenaan turut didakwa menjejaskan reputasi dan imej negara kerana melibatkan unsur korupsi, rasuah serta penyelewengan.

“Malangnya institusi yang diamanahkan untuk mencegah perbuatan tersebut telah hilang kepercayaan masyarakat.

“Kejadian pada Selasa di WTCKL adalah petanda jelas bahawa institusi tersebut telah rosak dan makin ramai yang mula berani menyuarakan ketidakpuasan hati,” ujarnya.

Menurutnya, Armada menyokong sebarang usaha untuk memulihkan kepercayaan terhadap semua institusi demi kebaikan negara.

“Armada ingin memuji keberanian beberapa individu yang telah berani berhadapan dengan risiko tinggi demi menyampaikan pendapat sebilangan besar rakyat,” kata beliau.