
PETALING JAYA: Proton e.MAS muncul sebagai jenama automotif paling pantas di Malaysia mencapai 31,504 pendaftaran kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) setakat 31 Julai 2026, hanya 20 bulan selepas pelancaran Proton e.MAS 7 pada Disember 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak 30,293 pendaftaran domestik direkodkan, mencerminkan peningkatan penerimaan rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik kini memasuki fasa penting susulan peningkatan keyakinan pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV).
“Pencapaian lebih 30,000 pendaftaran Proton e.MAS dalam tempoh hanya 20 bulan menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat Malaysia terhadap kenderaan elektrik.
“Ia juga membuktikan xEV semakin menjadi pilihan dan sebahagian daripada gaya hidup pengguna ketika memilih kenderaan baharu.
“Setiap pemilik Proton e.MAS bukan sahaja memilih kenderaan elektrik, malah turut memainkan peranan dalam membina ekosistem yang menyokong pertumbuhan EV pada masa hadapan.
“Kesan perkembangan ini akan memberi manfaat lebih besar, melangkaui sekadar pengalaman pemilikan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, momentum berkenaan turut berkembang ke pasaran antarabangsa dengan lebih 1,211 unit Proton e.MAS dihantar ke pasaran luar negara.
Katanya, Proton e.MAS 5 yang baru diperkenalkan turut mencatat perkembangan positif di pasaran antarabangsa apabila 130 unit telah dieksport, sekali gus membawa pengalaman pemilikan EV mampu milik kepada pelanggan global.
“Pencapaian itu direkodkan tidak lama selepas Proton e.MAS melepasi 20,000 pendaftaran pada 2026 sahaja, sekali gus mengatasi jumlah jualan keseluruhan 2025 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan momentum penerimaan xEV yang semakin meningkat di seluruh negara, selari dengan lebih ramai pengguna beralih kepada mobiliti elektrik,” katanya.
Seiring perkembangan pasaran xEV Malaysia, Proton e.MAS kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan segmen berkenaan.
Proton e.MAS 5 terus menerajui pasaran sebagai model EV nombor satu Malaysia dengan 13,279 unit pendaftaran.
Proton e.MAS 7 pula mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV EV segmen-C terlaris negara dengan 12,068 unit pendaftaran, manakala Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai model hibrid plug-in terlaris Malaysia dengan 4,946 unit pendaftaran.
Dalam pada itu, Proton e.MAS kini memperluaskan rangkaiannya kepada 58 pusat pengedar, disokong 45 pusat servis serta 10 pusat Body & Paint di seluruh negara.
Peta Pengecasan Langsung Bersepadu Proton e.MAS turut memaparkan lebih 4,700 titik pengecasan meliputi lebih 90 peratus kawasan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 1,500 titik pengecasan tersedia di lebih 600 kondominium, sekali gus menjadikan pengecasan di rumah dan lokasi destinasi lebih mudah serta praktikal kepada pemilik EV. – UTUSAN
The post Proton capai 31,504 pendaftaran kenderaan xEV appeared first on Utusan Malaysia.



