Proton jual lebih 114,000 unit setakat September, yakin kuasai 20% pasaran nasional pada 2025

03/10/2025 - 14:28
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 3 Okt – Proton Holdings Bhd meneruskan prestasi cemerlang apabila jualan suku ketiga (Q3) 2025 mencecah 42,141 unit, melonjakkan jumlah keseluruhan tahun setakat ini kepada 114,297 unit, mengatasi pencapaian sepanjang 2024.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, untuk September sahaja, Proton menjual 13,395 unit (domestik dan eksport), meskipun jumlah keseluruhan industri (TIV) menurun 21.7% kepada sekitar 57,169 unit.
“Dengan pencapaian itu, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 23.4% bulan lalu dan 19.9% bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025.
“Prestasi kukuh pada suku ketiga memberi keyakinan untuk kami mengekalkan momentum sehingga hujung tahun, selain menjadi landasan penting untuk memasuki 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Proton X50 kekal peneraju SUV
Tambahnya, model Proton X50 terus mendominasi pasaran SUV tempatan dengan 3,438 unit terjual pada September, menjadikan jumlah kumulatif tahun ini 21,154 unit, meningkat 24.4% berbanding 2024.
“Menariknya, 88% pembeli X50 adalah pemilik kenderaan sedia ada yang menaik taraf, manakala 33% pula adalah pelanggan baharu Proton.
“Proton X70 turut merekodkan pertumbuhan 10.1% kepada 6,033 unit setakat ini manakala Proton X90 mengekalkan status sebagai SUV segmen-D paling laris dengan 194 unit pada September.
“Untuk model ICE lain, Proton Saga kekal kukuh dengan lebih 6,000 unit terjual bagi bulan ketiga berturut-turut, sementara Persona (1,161 unit) dan Iriz (278 unit) terus bersaing dalam segmen masing-masing,” katanya.
Jualan Eksport dan EV Lonjak Rekod Baharu
Bagi pasaran eksport, Proton mencatat jualan tertinggi tahun ini dengan 815 unit pada September, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,959 unit, meningkat 56% berbanding tahun lalu.
Lonjakan ini dipacu oleh X50 yang meningkat jualannya kepada 220% dan Proton e.MAS 7 yang kini merekodkan 443 unit eksport.
Di pasaran domestik, Proton e.MAS 7 kekal sebagai EV paling laris dengan 845 unit pada September, menjadikan jumlah keseluruhan 6,656 unit dalam tempoh sembilan bulan.
Model baharu Proton e.MAS 5 dijangka memperkukuh lagi jualan EV apabila pemasangan tempatan bermula di kilang Tanjung Malim tidak lama lagi.
Dengan momentum kukuh ini, Proton optimis mencapai sasaran melepasi 20% pegangan pasaran automotif nasional pada tahun 2025..- DagangNews.com
standard

