Empire Premium Food Bhd rancang IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

03/10/2025 - 09:48
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 3 Okt – Empire Premium Food Bhd, pengendali rangkaian Empire Sushi merancang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk mengembangkan operasi cawangannya di seluruh negara.
Menurut draf prospektus yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, tawaran awam permulaan (IPO) ini melibatkan penerbitan 218 juta saham baharu dan tawaran jualan 145 juta saham sedia ada oleh pemegang saham penjual, Empire 11 Group Sdn Bhd yang mewakili 33% pegangan keseluruhan kumpulan.
Daripada jumlah itu, 293 juta saham (26.6%) diperuntukkan untuk pelabur institusi dan Bumiputera terpilih, manakala 70 juta saham (6.4%) diperuntukkan untuk pelabur runcit.
Daripada tawaran runcit, 55 juta saham disediakan untuk orang awam Malaysia manakala 15 juta saham untuk pemohon yang layak.
Selepas IPO, pegangan Empire 11, yang dimiliki bersama oleh Nicole Lim dan Jordan Tan, dijangka menurun daripada 100% kepada 67%.
Kumpulan yang bermula pada 2010 dengan konsep sushi grab-and-go kini mempunyai 132 cawangan Empire Sushi di seluruh Malaysia.
Perniagaan kumpulan ini mencatatkan pertumbuhan stabil dengan untung selepas cukai meningkat daripada RM14.59 juta (FY2023) kepada RM37.92 juta (FY2025).
Hasil pendapatannya juga meningkat daripada RM137.1 juta kepada RM235.6 juta dalam tempoh yang sama.
Lebih 80% pendapatan kumpulan datang daripada operasi yang berkonsepkan grab-and-go manakala baki diperoleh daripada cawangan dine-in.
Dana daripada IPO akan digunakan untuk membuka 56 cawangan baharu, mengambil kakitangan tambahan, menaik taraf cawangan sedia ada, serta membiayai modal kerja dan kos penyenaraian.
Maybank Investment Bank Bhd akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja tunggal, penjamin serta ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com
standard

