Proton mudahkan pelanggan dapatkan pembiayaan kenderaan menerusi Proton Capital

Business & FinanceCars
21 Sep 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Proton mudahkan pelanggan dapatkan pembiayaan kenderaan menerusi Proton Capital Image from: Proton mudahkan pelanggan dapatkan pembiayaan kenderaan menerusi Proton Capital liza21/09/2026 - 18:15 Proton Capital akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak membeli kenderaan Proton baharu menerusi 12 cawangan yang mengambil bahagian di Lembah Klang. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept – Proton Holdings Bhd melancarkan Proton Capital Sdn Bhd, syarikat pembiayaan automotif khusus yang diwujudkan bagi menyediakan pilihan tambahan kepada pelanggan untuk memiliki kenderaan jenama itu.

 

Penubuhan Proton Capital bukan bertujuan untuk bersaing dengan institusi kewangan sedia ada, sebaliknya melengkapkan pilihan pembiayaan dalam pasaran automotif menerusi tumpuan khusus kepada kenderaan Proton.

 

Syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar sah Proton bagi menyediakan pengalaman pembiayaan yang lebih bersepadu daripada proses permohonan sehingga penyerahan kenderaan kepada pelanggan.

 

Sebanyak 10 kumpulan pengedar diberi kuasa secara rasmi untuk menawarkan perkhidmatan Proton Capital ketika syarikat itu memulakan operasi kepada orang awam di Malaysia.

 

Pada peringkat awal, Proton Capital akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak membeli kenderaan Proton baharu menerusi 12 cawangan yang mengambil bahagian di Lembah Klang.

 

Permohonan pembiayaan dinilai mengikut kemampuan pelanggan

Pengerusi Proton Capital, Zhang Qiang berkata, penubuhan syarikat itu menambah keupayaan penting dalam model perniagaan Proton khususnya kerana pembiayaan memainkan peranan besar dalam proses pembelian kenderaan.

 

Katanya, kewujudan syarikat pembiayaan khusus membolehkan Proton bekerjasama lebih rapat dengan pengedar dan memberi tindak balas lebih berkesan terhadap keperluan pelanggan.

 

“Pelanggan boleh mengemukakan permohonan melalui pengedar Proton yang mengambil bahagian, manakala Proton Capital akan menilai setiap permohonan berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, maklumat kredit dan kemampuan membayar balik.

 

“Bagi permohonan yang lengkap dan mudah, Proton Capital menyasarkan keputusan awal dalam tempoh satu hari bekerja. Bagaimanapun, permohonan yang memerlukan dokumen tambahan, pengesahan atau penilaian kredit lanjut mungkin mengambil masa lebih lama,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Capital, Song Tao berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada penyediaan penyelesaian pembiayaan yang bertanggungjawab berdasarkan keperluan pelanggan dan pemilikan kenderaan Proton.

 

Pada peringkat pelancaran, Proton Capital menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional untuk kenderaan Proton baharu, termasuk pakej kadar tetap standard serta pakej khusus bagi teksi Proton S70. 

 

Syarikat itu juga merancang memperkenalkan lebih banyak produk secara berperingkat, termasuk pembiayaan untuk pelanggan perkhidmatan e-hailing, manakala pilihan pembiayaan patuh Syariah disasarkan diperkenalkan pada awal November, tertakluk kepada ketersediaan produk serta terma dan syarat berkaitan.

 

Tiada yuran permohonan dikenakan kepada pelanggan. Bagaimanapun, duti setem, caj berkanun, premium insurans atau takaful, caj pendaftaran dan fi lain yang berkaitan akan dinyatakan dalam helaian pendedahan produk sebelum perjanjian pembiayaan ditandatangani.

 

Proton Capital turut menggalakkan pelanggan menginsuranskan kenderaan menerusi Program Insurans Proton bagi perlindungan menyeluruh, tertakluk kepada kejayaan pendaftaran kenderaan.

 

Bayaran ansuran bulanan boleh dibuat menerusi perbankan dalam talian atau pindahan DuitNow menggunakan akaun CIMB Bank yang ditetapkan kepada akaun pembiayaan, selain pilihan debit terus yang turut disediakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved