Proton perluas pasaran e.MAS ke Sri Lanka

LocalCars
11 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Proton perluas pasaran e.MAS ke Sri Lanka

PETALING JAYA: Proton melantik David Pieris Holdings (Private) Limited (DPHL) sebagai pengedar rasmi serta memulakan penjualan runcit model-model Proton e.MAS di Sri Lanka melalui Perjanjian Pengedaran, sekali gus menjadikan negara itu pasaran eksport kelima kenderaan elektrik (EV) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, jualan Proton di Sri Lanka juga dijangka mendapat manfaat daripada penyelesaian pembiayaan dalaman dan rangkaian logistik yang disediakan oleh anak-anak syarikat lain di bawah DPHL.

“Melalui pengalaman pemilikan yang menyeluruh, pelanggan boleh menikmati perjalanan yang lancar bermula dari bilik pameran, proses pembelian model-model terkini Proton sehingga kepada perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai.

“Proton Intemational Corporation juga berbesar hati dapat memeterai Perjanjian Pengedaran bersama David Pieris Holdings kerana kami percaya mereka merupakan rakan strategik yang tepat untuk mengembangkan kehadiran Proton di Sri Lanka.

“Dengan sumber yang kukuh serta pengalaman luas dalam industri automotif, aspirasi utama kami adalah untuk menjadikan Proton sebagai jenama Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) nombor satu di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun baru diperkenalkan pada 2024, jenama Proton e.MAS telah menjadi pemangkin utama kepada perkembangan aktiviti eksport syarikat dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Ketika ini, produk e.MAS telah dipasarkan di empat pasaran eksport iaitu Singapura, Trinidad dan Tobago, Mauritius serta yang terbaharu Nepal, manakala Brunei dijangka menyertai senarai tersebut tidak lama lagi.

Bagi pasaran Sri Lanka, jualan di bawah DPHL disasarkan bermula pada tahun ini menerusi pelancaran model-model Proton e.MAS.

Beliau berkata, pelancaran Proton e.MAS telah membuka laluan kepada penembusan pasaran yang lebih kukuh untuk Proton International Corporation.

“Di sesetengah pasaran, kenderaan NEV kami merupakan satu-satunya model yang membawa jenama Proton.

“Selain itu, di pasaran yang turut menawarkan model enjin pembakaran dalaman (ICE), para pengedar kami kini mampu menyediakan penyelesaian mobiliti yang lebih menyeluruh kepada pelanggan mereka,” ujarnya.

Proton e.MAS kini merupakan jenama NEV nombor satu di Malaysia dengan jualan terkumpul sebanyak 21,808 unit di pasaran domestik dan eksport bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026.

Secara kumulatif, jenama ini juga baru-baru ini telah melepasi 30,000 unit jualan sejak pelancaran model pertamanya, Proton e.MAS 7, pada Disember 2024.

Kejayaan tersebut disokong oleh rangkaian pusat jualan dan selepas jualan terbesar dalam segmennya, selain prestasi cemerlang model-modelnya di pasaran.

Ini dengan Proton e.MAS 5 muncul sebagai EV paling laris di Malaysia, manakala Proton e.MAS 7 PHEV merupakan PHEV paling laris di negara ini. –UTUSAN

The post Proton perluas pasaran e.MAS ke Sri Lanka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved