
PETALING JAYA – Provident Group, kumpulan yang menyediakan penyelesaian bersepadu dalam bidang pengurusan harta, kewangan dan gaya hidup untuk individu, keluarga serta perniagaan, meneruskan kerjasama dengan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) untuk musim kedua berturut-turut.
Pembaharuan kerjasama dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian secara tertutup di Nobu Kuala Lumpur, yang diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selepas menjalin kerjasama erat pada musim lalu, Provident Fiduciaries Berhad dan Selangor FC kini meneruskan kerjasama di bawah naungan Provident Group yang merangkumi rangkaian perkhidmatan lebih luas.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Provident Fiduciaries Berhad, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Johan Kamal berkata, pihaknya percaya bahawa kerjasama strategik yang kukuh amat penting untuk menyokong visi serta aspirasi kelab jangka panjang.
“Kami menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Provident Group kepada kami, serta berharap dapat memperkukuh kerjasama ini bagi mewujudkan nilai yang lebih besar kepada kedua-dua pihak, seiring dengan usaha kami untuk terus membangunkan kelab baik di dalam dan di luar padang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Antara inisiatif utama kerjasama yang diteruskan ialah pengenalan Provident Lounge di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, yang menyediakan ruang hospitaliti eksklusif bagi tujuan libat urus korporat, pembinaan hubungan perniagaan serta pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak.

Ia membuktikan bahawa kerjasama tersebut mampu memberikan manfaat yang melangkaui peningkatan keterlihatan jenama semata-mata.
Provident Group dapat memanfaatkan ruang ini untuk meraikan tetamu dan pelanggan, mengadakan sesi libat urus bersama rakan perniagaan serta mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan dalam suasana perlawanan bola sepak. – KOSMO! ONLINE
The post Provident Group, Selangor FC perbaharui kerjasama strategik untuk musim kedua appeared first on Kosmo Online.






