PRU16 adalah ibu segala pilihan raya – Sanusi

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 11:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRU16 adalah ibu segala pilihan raya – Sanusi

PETALING JAYA: Pilihan raya akan datang dijangka menjadi antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara apabila Pas menyasarkan untuk memperluas pengaruhnya ke beberapa negeri termasuk Perak, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ sejak 1955, selain mengingatkan perkembangan Pas daripada hanya memiliki seorang Ahli Parlimen kepada 43 wakil di Dewan Rakyat ketika ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, perkembangan tersebut membuktikan Pas bukan lagi sebuah parti kecil, sebaliknya mempunyai kekuatan jentera dan organisasi di seluruh negara. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Parit Buntar di Dewan Tuan Guru Ahmad Tuan Hussin, Titi Serong, di sini semalam.

Menurut beliau, antara kekuatan Pas ialah kepatuhan ahli terhadap keputusan parti dan arahan pimpinan, termasuk kesediaan mengetepikan kepentingan diri demi keputusan bersama. Katanya, kekuatan berkenaan bukan hanya terserlah ketika pilihan raya, malah melalui pelbagai aktiviti pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan yang digerakkan sepanjang masa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas tidak menjadikan projek kerajaan sebagai sumber kepentingan parti dan pimpinan parti turut diingatkan supaya tidak melobi projek atau menggunakan kedudukan wakil rakyat untuk mendapatkan projek. 

Menurutnya, pendekatan itu turut diamalkan di Kedah sepanjang enam tahun beliau menjadi Menteri Besar.

Sehubungan itu, Sanusi menyeru rakyat Perak memberi peluang kepada Pas untuk mentadbir negeri tersebut pada pilihan raya akan datang, selain menyatakan sasaran parti mengambil alih pentadbiran Selangor dan Pahang, mengekalkan Terengganu, Kelantan, Kedah serta Perlis dan mencuba untuk memenangi kerusi di Pulau Pinang. – UTUSAN

The post PRU16 adalah ibu segala pilihan raya – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved