Platform pendidikan kewangan percuma ini dibangunkan berasaskan pelaburan lebih RM179.5 juta dalam inisiatif tanggungjawab korporat dan keterangkuman kewangan antara tahun 2014 hingga 2025.
Prudential Malaysia[1] memperkukuh komitmen jangka panjangnya untuk membina daya tahan kewangan di Malaysia menerusi pelancaran Levela, sebuah platform pendidikan kewangan percuma yang dibangunkan oleh Prudence Foundation, bahagian yang mengendalikan pelaburan komuniti dan kegiatan kebajikannya.
Antara tahun 2014 hingga 2025, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Prudential BSN Takaful (PruBSN) dan Eastspring Investments Malaysia (EIMY) secara kolektif telah melabur dan menyalurkan dana[2] berjumlah lebih daripada RM179.5 juta dalam inisiatif tanggungjawab korporat dan keterangkuman kewangan, merangkumi pendidikan kewangan, perlindungan untuk komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan serta program untuk memperkukuh keselamatan kewangan. Pelancaran Levela, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Tuan Liew Chin Tong, memperkukuh komitmen jangka panjang ketiga-tiga entiti ini dalam memajukan literasi dan keterangkuman kewangan di Malaysia.

Golongan muda Malaysia hari ini berdepan dengan keputusan kewangan yang semakin kompleks, bermula dengan menguruskan pendapatan pertama dan menggunakan pembayaran digital hinggalah memahami kemudahan kredit serta tanggungjawab membayar hutang, menilai tawaran Buy Now, Pay Later (BNPL), melindungi diri daripada penipuan dalam talian dan merancang masa depan kewangan mereka.

“Apabila kita bercakap tentang membina ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, kita juga perlu memberi perhatian kepada memperkukuh daya tahan kewangan rakyat Malaysia. Daya tahan kewangan tidak terbina melalui dasar semata-mata. Sebaliknya, daya tahan ini dibentuk oleh individu melalui setiap keputusan yang dibuat dari semasa ke semasa. Cara kita menyimpan wang, meminjam, melindungi diri dan melabur membentuk keupayaan kita untuk menghadapi cabaran yang tidak dijangka serta membuat keputusan hari ini yang memberikan kita lebih banyak pilihan pada masa hadapan,” kata Timbalan Menteri Kewangan, YB Tuan Liew Chin Tong.
“Pendidikan kewangan tidak boleh terhenti pada pengajaran konsep semata-mata. Pendidikan ini perlu membantu orang ramai mengamalkan pengetahuan yang diperoleh dalam kehidupan seharian. Levela meneruskan komitmen jangka panjang Prudential Malaysia dan Prudence Foundation terhadap keterangkuman kewangan dengan menyediakan pembelajaran kewangan yang praktikal dan percuma kepada golongan dewasa muda. Pembelajaran ini merangkumi aspek pengurusan bajet, simpanan, kredit, perlindungan dan kesedaran tentang penipuan. Kejayaannya bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah pengguna, tetapi juga berdasarkan perubahan yang dilakukan dalam kehidupan mereka hasil penggunaan platform ini.”

Direka khusus untuk pelajar universiti, golongan profesional muda dan mereka yang baru melangkah ke arah kebebasan kewangan, Levela bertujuan untuk membina keyakinan dalam membuat keputusan kewangan, satu keputusan pada satu masa.
Platform pendidikan kewangan percuma ini boleh diakses melalui laman web dan aplikasi mudah alih dalam enam bahasa. Kandungannya yang patuh Syariah tersedia dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.
Melalui pelajaran interaktif yang ringkas dan mudah diikuti, pengguna dapat membangunkan kemahiran praktikal dalam menguruskan wang. Akses luar talian yang disediakan oleh platform ini juga membolehkan lebih ramai masyarakat berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat akses, mendapat manfaat daripadanya.
Dibangunkan dengan sokongan penyelidikan daripada Centre for Financial Inclusion di Accion[3], Levela merangkumi enam bidang utama kewangan peribadi.
- Penyediaan bajet dan pengurusan aliran tunai: Mencatat pendapatan dan perbelanjaan.
- Simpanan dan dana kecemasan: Memperuntukkan wang untuk mencapai matlamat masa depan dan menampung perbelanjaan tidak dijangka.
- Kredit dan pengurusan hutang: Membuat pinjaman secara bertanggungjawab dan mengurus komitmen kewangan.
- Pengurusan risiko dan insurans/takaful: Memahami cara melindungi diri daripada risiko kewangan akibat perkara yang tidak dijangka.
- Penetapan matlamat dan perancangan kewangan: Merancang untuk mencapai matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang.
- Pencegahan penipuan dan keselamatan digital: Mengenal pasti penipuan dan melindungi maklumat peribadi.
“Pendidikan kewangan perlu lebih daripada sekadar mengajar masyarakat cara menguruskan wang. Sebaliknya, pendidikan kewangan perlu memperkasa mereka untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat”, kata Nicole Ngeow, Pengarah Eksekutif Prudence Foundation.
“Melalui Levela, kita memberikan golongan dewasa muda keyakinan untuk membuat keputusan yang tepat tentang perbelanjaan, simpanan, pinjaman dan cara melindungi diri daripada risiko.”
“Dengan menjadikan pendidikan kewangan mudah diakses, praktikal dan relevan dengan kehidupan mereka, kami berharap dapat membantu generasi baharu membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar terhadap masa depan kewangan mereka,” kata Nicole.
Levela meneruskan usaha melalui program utama Prudence Foundation, iaitu program Cha-Ching, yang memperkenalkan konsep asas kewangan dan kemahiran pengurusan wang kepada murid sekolah.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, program Cha-Ching yang memenangi anugerah ini telah menjangkau lebih 4.8 juta pelajar secara kumulatif di seluruh Asia dan Afrika, termasuk tambahan satu juta pelajar pada tahun 2025 sahaja.
Usaha pelaburan komuniti Prudence Foundation yang lebih meluas melengkapi inisiatif pendidikan kewangan ini. Pada tahun 2025, Prudential melaburkan sejumlah AS$16.1 juta dalam program komuniti melalui Prudence Foundation dan beberapa program komuniti lain yang diterajui oleh pasaran tempatan masing-masing, meningkat daripada AS$12.5 juta pada tahun 2024.
Pelancaran Levela meneruskan usaha berterusan PAMB, PruBSN, EIMY dan Prudence Foundation untuk memajukan pendidikan kewangan, memperluas perlindungan kewangan dan memperkukuh daya tahan komuniti di Malaysia.
Memperkukuh keupayaan kewangan merentas generasi

Melalui usaha bersama PAMB, PruBSN, EIMY dan Prudence Foundation, Prudential Malaysia menyokong rakyat Malaysia pada pelbagai peringkat kehidupan kewangan mereka, daripada memperkenalkan pengurusan wang kepada kanak-kanak dan memperluas perlindungan kepada isi rumah yang kurang mendapat perhatian, hinggalah membantu golongan dewasa muda membuat persediaan untuk mencapai kebebasan kewangan.
Pelancaran Levela meneruskan usaha sedia ada ini dengan memperluas inisiatif pendidikan kewangan Prudential, menjadikan pembelajaran kewangan lebih mudah diakses serta membantu lebih ramai golongan muda Malaysia membuat keputusan kewangan harian dengan lebih bijak berdasarkan pengetahuan yang dimiliki.
[1] Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), and Eastspring Investments Berhad (EIMY) collectively referred to as Prudential Malaysia.
[2] Istilah "menyalurkan dana" merangkumi pembiayaan yang diperoleh atau disalurkan melalui pengaturan pembiayaan secara kerjasama, termasuk inisiatif takaful sosial yang dibiayai bersama serta program yang dibiayai oleh kerajaan.



