
KUALA LUMPUR: Prudential Malaysia bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi lanjutan kedua inisiatif i-Lindung KWSP, menawarkan pilihan bagi pelan perlindungan konvensional dan takaful kepada rakyat Malaysia yang lebih mudah diakses dan didaftarkan selain menyediakan nilai perlindungan terbaik.
Prudential Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelan perlindungan yang kos efektif iaitu PRUGuard Family dan PRUBSN Lindung Family serta PRUCare Family dan PruBSN Cegah Famili disediakan eksklusif untuk ahli KWSP dan membolehkan mereka melindungi diri dan ahli keluarga melalui simpanan dalam Akaun 2 KWSP.
Bagi mendapatkan pelan perlindungan berkenaan, ahli hanya perlu log masuk ke aplikasi KWSP i-Akaun, di bahagian Pelan Perlindungan Ahli, pilih pelan perlindungan yang bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi turut merangkumi pasangan dan anak-anak, kemudian bayaran boleh dibuat melalui pemotongan daripada Akaun 2 KWSP.
Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad Lim Eng Seong dalam kenyataan sama berkata sejak pelancaran i-Lindung, maklum balas dan permintaan yang diterima bagi pelan perlindungan KWSP telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Ramai rakyat Malaysia mahukan pelan perlindungan yang mampu milik serta komprehensif untuk mereka dan insan tersayang, khususnya dalam landskap ekonomi yang mencabar ini. Hal ini telah mendorong kami untuk melancarkan PRUGuard Family dan PRUCare Family. Ahli KWSP boleh melindungi diri serta keluarga melalui KWSP,“ katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata kos sara hidup dan penjagaan kesihatan dilihat terus meningkat dan sebagai penyedia perkhidmatan insurans dan takaful keluarga terkemuka di dalam negara, Prudential Malaysia memahami keperluan untuk menghasilkan pelan perlindungan bagi mengatasi cabaran ini.
“Seperti yang dilaporkan PIDM (Perbadanan Insurans Deposit Malaysia), rakyat mudah terlepas pandang mengenai kepentingan untuk mendapatkan perlindungan memandangkan ramai yang masih kurang memahami impak risiko dan kejadian yang tidak diduga. Mereka juga beranggapan bahawa insurans adalah mahal dan lebih cenderung untuk melabur simpanan bagi tujuan lain.
“Menerusi kerjasama dengan KWSP ini, kami berharap dengan pelan PruBSN Lindung Famili dan PruBSN Cegah Famili akan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia melindungi diri mereka dan ahli keluarga daripada situasi luar jangkaan,” katanya.
PRUGuard Family dan PruBSN Lindung Famili (Perlindungan Hayat Bersyarat) ialah pelan perlindungan bertempoh yang berkesan memberikan perlindungan kepada individu dan tanggungan hingga RM200,000, kos bagi pelan ini adalah serendah RM13.80 setiap tahun bagi setiap ahli yang dilindungi dan menyediakan manfaat tambahan sekali gus kepada individu dan tanggungan hingga 300 peratus atas jumlah yang dilindungi, apabila berlaku kematian akibat kemalangan.
PRUCare Family dan PruBSN Cegah Famili (Perlindungan Penyakit Kritikal) pula memberikan peluang kepada rakyat Malaysia dan ahli keluarga untuk memiliki pelan perlindungan penyakit kritikal yang berpatutan dengan kos serendah RM16.30 setahun, dan memberikan perlindungan kepada 43 jenis penyakit kritikal hingga RM200,000 serta manfaat bayaran sekali gus sekiranya individu berkenaan atau tanggungan meninggal dunia.
Maklumat lanjut mengenai pelan perlindungan baharu yang mampu milik dan manfaatnya, sila layari www.prudential.com.my dan www.prubsn.com.my.



