
PETALING JAYA – Kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kekuatan strategik negara, bukan sekadar agenda kebajikan selepas tamat perkhidmatan.
Pendekatan itu digariskan menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 yang meletakkan kebajikan veteran sebagai agenda strategik serta perlu dihubungkan dengan pembangunan modal insan, industri pertahanan, keselamatan komuniti dan ekonomi nasional.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan pengalaman, kemahiran dan kepimpinan yang dimiliki veteran ATM terus dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan serta pembangunan negara.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, veteran tidak wajar dilihat sebagai kumpulan pasca perkhidmatan semata-mata, sebaliknya sebagai aset modal insan strategik yang masih mampu menyumbang dalam pelbagai sektor.
Jelasnya, kepakaran mereka boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan industri pertahanan tempatan, memperkukuh sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperluas keusahawanan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Pendekatan itu turut selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang menekankan pembangunan ekonomi bernilai tinggi, pengukuhan modal insan dan peningkatan produktiviti,” katanya.
Dalam konteks pertahanan, Nur Surayya berkata, pelaburan terhadap kesejahteraan veteran sebenarnya merupakan pelaburan terhadap kesinambungan keupayaan pertahanan negara.
“Ini kerana pengalaman dan pengetahuan yang dikumpul sepanjang tempoh perkhidmatan boleh terus menjadi sumber kepakaran kepada negara sekiranya disalurkan menerusi sektor yang bersesuaian.
“Malah, kekuatan sesebuah negara juga tidak hanya diukur melalui jumlah aset, teknologi atau peruntukan pertahanan yang dimiliki.
“Sebaliknya, ia turut bergantung kepada keupayaan negara membangunkan modal insan, memastikan kesinambungan kepakaran serta menghargai mereka yang pernah berada di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau yang juga Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, pendekatan tersebut membolehkan perbelanjaan pertahanan memberikan pulangan lebih luas kepada negara apabila diterjemahkan kepada pembangunan industri, peningkatan kemahiran dan peluang ekonomi.
“Strategi itu juga mencerminkan pendekatan Malaysia yang mengutama disiplin fiskal, kecekapan dan keutamaan strategik, berbanding membina kekuatan pertahanan melalui perlumbaan perbelanjaan.
“Kebajikan veteran turut perlu dilihat dalam konteks membina masyarakat dan komuniti yang lebih berdaya tahan, khususnya dengan memanfaatkan pengalaman serta kepimpinan mereka selepas meninggalkan perkhidmatan,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha memperkasa veteran ATM bukan hanya memenuhi tanggungjawab moral negara terhadap mereka yang pernah berkhidmat.
Lebih penting katanya, ia merupakan sebahagian daripada strategi membina kekuatan negara melalui pemeliharaan modal insan, pengukuhan industri pertahanan, peningkatan produktiviti dan kesejahteraan rakyat.
“Negara yang kuat bukan sahaja negara yang mampu mempertahankan sempadannya, tetapi negara yang turut menjaga mereka yang pernah mempertahankan kedaulatannya.
“Inilah asas kepada pembinaan Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur.
The post PSPN 2026-2030 Memperkasa Kesejahteraan Veteran ATM, Kuatkan Pertahanan Negara appeared first on Kosmo Online.





