Pekebun kecil sumbang 88.7 peratus pengeluaran getah negara

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2026 • 2:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekebun kecil sumbang 88.7 peratus pengeluaran getah negara

SIK: Pekebun kecil menyumbang 88.7 peratus daripada pengeluaran getah asli negara sehingga Jun lalu, membuktikan peranan penting golongan itu dalam memastikan kelangsungan industri komoditi berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sumbangan berkenaan menjadi antara sebab kebajikan dan kesejahteraan pekebun kecil sentiasa diberi keutamaan kementerian.

Katanya, kerajaan mahu memastikan golongan itu mendapat akses lebih mudah kepada maklumat, bantuan, khidmat nasihat serta teknologi bagi membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Industri getah bukan sekadar pengeluaran dan nilai eksport tetapi di sebalik setiap kebun, ada keluarga yang bergantung pada hasilnya. Ada kehidupan yang dibina melalui usaha dan titik peluh para pekebun kecil,” katanya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kaunter Getah untuk Rakyat (GeRak) 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, daerah Sik dipilih sebagai lokasi pelancaran GeRak kerana mempunyai komuniti pekebun kecil getah yang besar, dengan seramai 8,761 pemegang Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) mengusahakan tanaman getah seluas lebih 10,800 hektar.

Katanya, di seluruh Kedah pula terdapat 47,855 pemegang PAT-G, dengan keluasan tanaman getah pekebun kecil melebihi 59,000 hektar.
“Angka ini menunjukkan betapa pentingnya industri getah kepada kehidupan masyarakat di Kedah. Ia juga menjelaskan mengapa perkhidmatan kerajaan perlu dibawa lebih dekat kepada mereka,” katanya.

Noraini berkata, menerusi GeRak, pelbagai perkhidmatan dihimpunkan menerusi konsep pusat sehenti bagi membolehkan pekebun kecil mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta mengemukakan permohonan tanpa perlu berulang-alik ke beberapa pejabat.

Katanya, pelaksanaan GeRak di Sik menyasarkan 5,000 pekebun kecil menerima manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan.

Sementara itu, beliau berkata, pembayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) di Kedah mencecah RM64.57 juta dari November 2015 hingga Jun lalu.

Beliau berkata, kerajaan pada masa sama memberi perhatian kepada usaha meningkatkan produktiviti pekebun kecil menerusi Projek Rintis Model Baharu Insentif Pengeluaran Lateks (IPL+).

“Di Kedah, projek ini telah melibatkan 111 pekebun kecil dalam empat kluster sejak 2024 dan sehingga Ogos lalu, projek ini telah menghasilkan lebih 110,000 kilogram lateks dan menjana pendapatan terkumpul sekitar RM1.37 juta,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan pekebun kecil mampu meningkatkan hasil apabila diberikan insentif, teknologi dan akses pasaran yang tepat. – UTUSAN

 

The post Pekebun kecil sumbang 88.7 peratus pengeluaran getah negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved