
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyumbangkan kepakaran dan keupayaannya dalam misi kemanusiaan di Nepal susulan banjir besar yang berlaku di negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu bagaimanapun perlu disahkan oleh Kementerian Luar sebelum kerajaan memutuskan tindakan yang wajar diambil.
“Kita sentiasa bersedia. Seperti yang kita sedia maklum, antara sumbangan yang boleh diberikan oleh ATM adalah menerusi misi kemanusiaan.
“Sekiranya kerajaan membuat keputusan dan ia melibatkan ATM, kita bersedia menyumbangkan kepakaran serta keupayaan yang dimiliki,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga susulan banjir dahsyat yang turut menyebabkan ratusan penduduk tempatan dan warga asing belum diketahui nasib mereka.
Kebimbangan rakyat Malaysia itu timbul selepas sekurang-kurangnya 17 rakyat negara ini dilaporkan antara ratusan warga asing yang hilang susulan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan teruk di daerah Rasuwa, Nepal.
Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, urusan perjalanan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang itu diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.
Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal dilaporkan tidak dapat dihubungi, manakala polis serta pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan, 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa dilaporkan terputus hubungan susulan banjir berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan, manakala pasukan mencari dan menyelamat telah dikerah bagi mengesan rakyat Malaysia yang terjejas serta memastikan keselamatan mereka.
Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi dilaporkan menghanyutkan banyak kampung serta memusnahkan jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure.-UTUSAN
The post ATM sedia bantu operasi kemanusiaan banjir besar di Nepal appeared first on Utusan Malaysia.





