Padah melanggar etika dan maruah penjawat awam, seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat sauna songsang di ibu negara diarah meletakkan jawatan serta-merta oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Langkah tegas itu diambil selepas Unit Integriti KPT memulakan siasatan dalaman berhubung penglibatan pegawai tersebut yang berkhidmat di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tindakan pantas itu membuktikan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang mencemarkan imej perkhidmatan awam.
“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang PTD yang berkhidmat di pejabat saya oleh PDRM baru-baru ini.
“Di KPT, tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakan lanjut akan dibuat berdasarkan siasatan Unit Integriti dan pihak berkuasa.
Baca juga:
Tindakan pantas jaga maruah kementerian
Menurut Mustapha, tindakan mengarah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) letak jawatan itu adalah mesej jelas bahawa integriti perkhidmatan awam tidak boleh digadaikan.
Tegasnya, KPT akan terus memperkukuh budaya kerja beretika dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang menjejaskan kepercayaan awam terhadap kementerian.
Tindakan itu bukan hanya bersifat pentadbiran, tetapi juga langkah moral untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap penjawat awam.
201 ditahan dalam serbuan, 17 daripadanya penjawat awam
Kes ini tercetus selepas satu operasi bersepadu dijalankan di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut pada 28 November lalu, membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Sebanyak 201 lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang — termasuk 17 penjawat awam terdiri daripada doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, guru, pegawai penguat kuasa dan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Siasatan terhadap semua mereka masih dijalankan.
Sumber: Harian Metro
The post PTD diarah letak jawatan selepas ‘kantoi’ diserbu di pusat sauna songsang appeared first on The Reporter.




