GEORGE TOWN – Pulau Pinang berpeluang memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi tinggi negara menerusi penubuhan Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang (PTFC) khususnya dalam mendepani perubahan geopolitik global dan gelombang pertumbuhan pesat Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkembangan AI supercycle ketika ini menyediakan peluang baharu kepada syarikat tempatan untuk memperluas operasi serta meningkatkan keupayaan perniagaan terutama dalam industri semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E).
Menurutnya, PTFC dirangka untuk menyediakan ekosistem kewangan dan pelaburan yang lebih menyeluruh, sekali gus memudahkan akses kepada modal, perkhidmatan kewangan serta kaedah pembiayaan baharu bagi menyokong pertumbuhan sektor teknologi di Pulau Pinang, wilayah utara dan negara.
“Pulau Pinang dan wilayah utara merupakan hab teknologi tinggi negara dan kita mahu memanfaatkan kekuatan sedia ada ini untuk memperkukuh akses kepada modal, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula teknologi,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Bukit Tengah) mengenai potensi pulangan penubuhan PTFC kepada negeri dan negara.
Menurut Kon Yeow lagi, pengiktirafan Pulau Pinang sebagai pusat kewangan teknologi negara dalam Belanjawan 2027 turut memberi ruang kepada PTFC untuk memperluaskan sumbangannya terhadap agenda pembangunan teknologi negara.
Katanya, inisiatif itu juga dijangka membantu menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) terutama daripada aspek mempercepatkan pengkomersialan hasil teknologi serta merangsang pertumbuhan industri bernilai tinggi.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, antara manfaat yang boleh dijana PTFC termasuk menarik kemasukan dana dan pelaburan baharu selain membuka peluang pertumbuhan kepada PKS, syarikat pemula serta institusi pengajian tinggi yang aktif dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Apabila ada akses kepada modal dan sokongan pembiayaan, kita bukan sahaja mahu melihat R&D dilaksanakan tetapi dalam masa sama memastikan hasil penyelidikan itu dapat dikomersialkan menjadi projek dan produk teknologi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mempergiatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan selepas Belanjawan 2027 diluluskan bagi memastikan pelaksanaan PTFC dapat diselaraskan dengan lebih teratur.
Usaha itu termasuk cadangan menubuhkan jawatankuasa bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menyelaras gerak kerja serta pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Dalam pada itu,,Kon Yeow berkata, dana strategik bernilai RM100 juta menerusi kerjasama Khazanah Nasional Bhd dan InvestPenang menjadi antara inisiatif awal untuk menyokong pembentukan serta pembangunan ekosistem kewangan teknologi tersebut.




