The Waterfront Shoppes bernilai RM1.2 bilion mula beroperasi sebagai hab komersial baharu di Pulau Pinang

30 Oct 2026 • 12:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

The Waterfront Shoppes bernilai RM1.2 bilion mula beroperasi sebagai hab komersial baharu di Pulau Pinang Image from: The Waterfront Shoppes bernilai RM1.2 bilion mula beroperasi sebagai hab komersial baharu di Pulau Pinang liza30/10/2026 - 12:44 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – The Waterfront Shoppes (TWS), projek pusat beli-belah bernilai RM1.2 bilion di The Light City Pulau Pinang mula beroperasi sebagai hab komersial baharu dengan keluasan ruang boleh disewa bersih 700,000 kaki persegi yang menggabungkan aktiviti peruncitan, makanan dan minuman, hiburan serta rekreasi.

 

Antara penyewa utama yang diperkenalkan termasuk Xventure dan Wan To Play menerusi konsep permainan aktif, selain Parkson yang memperluaskan penawaran fesyen serta Mercato menerusi format pasar raya premium.

 

Pusat beli-belah yang dibangunkan menerusi usaha sama IJM Corporation Bhd dan Perennial Holdings Private Ltd itu adalah hab komersial baharu yang turut dilengkapi persiaran tepi laut sepanjang 750 meter.

 

TWS disifatkan sebagai pusat beli-belah terbesar di Pulau Pinang yang dibangunkan dalam tempoh lebih sedekad yang menambah penawaran ruang runcit berskala besar di negeri itu.

 

Kehadirannya turut memperluaskan pilihan aktiviti komersial dan rekreasi menerusi gabungan ruang beli-belah, restoran, hiburan serta kawasan awam dalam satu pembangunan.

 

Pengarah Urusan Pengurusan Runcit Perennial Holdings dan Pengurusan Komersial China, Jasmine Chua berkata skala pembangunan TWS bukan satu-satunya faktor yang menentukan impaknya, memandangkan masa depan sektor peruncitan dan rekreasi semakin bergantung kepada keupayaan sesebuah destinasi menawarkan pengalaman yang relevan kepada masyarakat.

 

“Masa depan industri itu bukan lagi hanya berkisar kepada saiz, sebaliknya melibatkan usaha membangunkan lokasi yang benar-benar mempunyai peranan dalam kehidupan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tarikan baharu di Pulau Pinang

TWS turut menempatkan Blue Bay Food Garden yang menawarkan 28 gerai makanan dengan kapasiti 400 tempat duduk, sekali gus menyediakan pilihan makanan dan minuman dalam satu lokasi.

 

Sementara itu, CMC Theatre memperkenalkan destinasi pawagam premium baharu dengan sembilan dewan dan lebih 1,000 tempat duduk.

 

Pawagam berkenaan turut menampilkan teknologi CINITY LED yang diperkenalkan sebagai yang pertama di Asia Tenggara, sekali gus menambah pilihan hiburan premium di Pulau Pinang.

 

Kepelbagaian penyewa itu membentuk gabungan penawaran komersial yang merangkumi fesyen, barangan keperluan harian, makanan, permainan aktif dan hiburan, selain meluaskan fungsi TWS melangkaui pusat beli-belah konvensional.

 

Gabungkan pembangunan komersial dengan pemuliharaan marin

Selain komponen komersial, TWS turut menampilkan arca ikan lumba-lumba yang diinspirasikan daripada persekitaran pesisir pantai Pulau Pinang.

 

Arca berkenaan akan menjadi sebahagian daripada program pendidikan dan kesedaran alam sekitar pada masa depan yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan hidupan marin, kelestarian serta warisan semula jadi Pulau Pinang.

 

Pendekatan itu turut menggabungkan elemen pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam pembangunan komersial berkenaan, selari dengan konsep yang menghubungkan aktiviti peruncitan, rekreasi dan ruang awam.

 

Secara keseluruhan, pembukaan TWS menambah satu lagi komponen utama kepada The Light City menerusi pembangunan ruang komersial berskala besar yang menggabungkan pelbagai aktiviti di kawasan tepi laut Pulau Pinang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved