PHB kini miliki aset logistik bernilai RM300 juta daripada Titijaya

28 Oct 2026 • 7:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PHB kini miliki aset logistik bernilai RM300 juta daripada Titijaya

PETALING JAYA – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memperoleh sebuah aset logistik dan perindustrian di Bayan Lepas Waterfront, Pulau Pinang, daripada  Titijaya Land Berhad
(Titijaya), pada nilai kira-kira RM300 juta bertujuan untuk memperluaskan portfolio aset
perindustrian serta memperkukuh aliran pendapatan syarikat.

Hartanah yang telah siap dibina pada tahun 2024 itu telah disewakan sepenuhnya kepada
DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus menyediakan sumber pendapatan sewaan yang stabil dan berterusan kepada PHB.

Pemilikan tersebut bakal meningkatkan sumbangan aset perindustrian kepada kira-kira 11
peratus daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan PHB, sejajar dengan strategi syarikat untuk mempelbagaikan portfolio dan memperkukuh daya tahan pendapatannya.

Hartanah berkenaan diperoleh daripada Aman Duta Sdn Bhd, iaitu anak syarikat
milik penuh tidak langsung Titijaya.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata, pemilikan tersebut mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor logistik dan perindustrian, khususnya di Pulau Pinang yang merupakan antara hab perindustrian utama negara.

Image from: PHB kini miliki aset logistik bernilai RM300 juta daripada Titijaya

“Pemerolehan ini menawarkan potensi pendapatan jangka panjang yang disokong
oleh penyewa berkualiti serta struktur pajakan yang stabil, selari dengan usaha PHB
untuk meningkatkan prestasi portfolio dan mengukuhkan aliran pendapatan syarikat.

“Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap ruang logistik dan perindustrian
berkualiti, PHB akan terus meneroka peluang pelaburan strategik bagi memperkukuh prestasi portfolio serta menjana pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” katanya.

Selain memperkukuh portfolio pelaburan PHB, pemerolehan ini turut selaras dengan
aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) dalam memperluas penyertaan bumiputera dalam sektor hartanah serta mewujudkan peluang penjanaan kekayaan jangka panjang menerusi pelaburan yang mampan dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, Datuk Lim Poh Yit menjelaskan, transaksi tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk terus mencipta nilai melalui pelaburan hartanah berkualiti dan pengurusan aset yang strategik.

“Kami berbesar hati kerana telah berjaya menyempurnakan transaksi ini bersama PHB, yang mencerminkan komitmen kami dalam mencipta nilai menerusi pelaburan hartanah berkualiti yang menjana pendapatan serta pengurusan aset yang strategik.

“Transaksi ini menunjukkan pendekatan proaktif kami dalam mengurus portfolio hartanah dan merealisasikan nilai aset. Kami kekal memberi tumpuan kepada perniagaan teras pembangunan hartanah sambil terus meneroka peluang yang menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan dan mewujudkan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” tambah beliau.

Terletak di Bayan Lepas Waterfront, aset ini merangkumi kira-kira 28,562.8 meter
persegi tanah pegangan pajakan yang dipegang di bawah H.S.(D) 26408, Lot
72885, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang, berserta sebuah kompleks
komersial logistik tiga tingkat yang dibina di atasnya, yang dikenali sebagai “Penang
Logistics Hub 5”.

Kompleks berkenaan dilengkapi dengan sistem Automated Storage and Retrieval
System (ASRS), iaitu teknologi penyimpanan dan pengambilan barangan secara
automatik yang meningkatkan kecekapan operasi serta mengoptimumkan kapasiti
penyimpanan.

The post PHB kini miliki aset logistik bernilai RM300 juta daripada Titijaya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved