
PTPTN Terus Perkukuh Budaya Penabungan Melalui Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 pada hari ini bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertempat di Central i-City Mall, Shah Alam, Selangor.
Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia. Tahun 2025 merupakan tahun kelapan penganjurannya sejak 2018. Program BMS bermula pada 26 September 2025 hingga 2 November 2025 dan majlis pelancaran adalah pada 27 September 2025 bagi peringkat nasional serta diadakan serentak di seluruh negara di lokasi-lokasi terpilih.

BMS edisi kali ini mengetengahkan tema Pengembaraan (Adventures) dan mengekalkan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda”. Tema ini amat bertepatan kerana kehidupan dan pendidikan anak-anak adalah sebuah pengembaraan yang penuh cabaran dan penemuan baharu. Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Action Song, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race. Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan cenderahati eksklusif BMS 2025 yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.

BMS 2025 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.
YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, “Penabungan untuk pendidikan tinggi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam usaha membina masa depan anak-anak. Dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat, menabung dari awal ialah satu persediaan bijak dan bertanggungjawab.”
“Sehingga 31 Ogos 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM22.31 bilion dengan 7.09 juta akaun yang telah dibuka. Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dan sokongan pendeposit kekal utuh. Pada BMS tahun ini, PTPTN menetapkan sasaran jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta.” tambah beliau lagi.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan. Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025.
Ketika Majlis Pelancaran BMS 2025, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2025 dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Action Song Simpan SSPN Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung melalui Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin dengan sokongan semua pihak, visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara dapat direalisasikan. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2025, layari www.ptptn.gov.my/BMS2025.
The post PTPTN Terus Perkukuh Budaya Penabungan Melalui Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 appeared first on Siakap Keli.




