
PTPTN Umum Dividen Simpan SSPN 4.10 Peratus
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang lebih kompetitif kepada pendeposit bagi tahun 2025 sebanyak 4.10 peratus.
Menerusi kenyataan PTPTN, pengagihan dividen Simpan SSPN bagi tahun 2025 telah diumumkan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Menara PTPTN, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir sama ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengurusan PTPTN serta rakan strategik.
Maklum PTPTN lagi, pemberian dividen Simpan SSPN ini akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit Simpan SSPN, melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dividen adalah sebanyak RM2.63 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2024," tulis kenyataan itu lagi.
Untuk makluman, agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai Khamis, 7 Mei.
Selain itu, peningkatan kadar dividen ini menunjukkan kecekapan PTPTN yang diterajui oleh Norliza, bersama Ahli Lembaga Pengurusan dan Pengurusan PTPTN dalam menguruskan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat diberikan kepada pelanggan.
Karnival Usahawan Cilik Generasi Madani PTPTN Galak Amalan Penabungan Seawal Usia Melalui Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN
PTPTN Bantu Pelajar UMK Melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin
"Dalam masa yang sama, pencapaian ini mendapat sokongan penuh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi pengurusan dana yang mampan dan berdaya saing," kongsi PTPTN lagi.
Bukan itu sahaja, peningkatan ini juga turut disokong oleh rakan strategi pelaburan patuh syariah yang berjangka pendek dan panjang di pasaran wang dan sukuk tempatan yang memelihara prinsipal, di samping tawaran pulangan yang kompetitif.

Ujar PTPTN lagi, pemberian dividen Simpan SSPN sebanyak 4.10 peratus ini menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) yang ditetapkan oleh Bank negara yang kekal pada kadar 2.75 peratus sepanjang tahun 2025.
Malah, pada tahun 2025 juga, jumlah pendeposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.33 bilion.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM154.10 juta atau 4.86% berbanding pencapaian tahun 2024, sebanyak RM3.17 bilion," tambahnya.
Selain itu juga, lebih 500 ribu pembukaan akaun baharu telah direkodkan pada tahun lalu dan ini menjadikan keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Disember 2025 adalah berjumlah RM23.88 bilion.
'Prestasi ini merupakan pencapaian dan kejayaan yang membanggakan, selain sebagai bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN kekal utuh."
Untuk makluman, Simpan SSPN merupakan satu produk terbaik untuk masyarakat Malaysia untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.
Selain dari menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan lain yang ditawarkan dan paling menarik, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun.
"Selain itu, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga rm10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang idijamin Kerajaan dan patuh syariah," tambah PTPTN.
Dalam pada itu, sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
"Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga," ujar PTPTN lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN, layari www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
