PTRS dan Didik Kasih catat impak positif kepada prestasi pelajar

3 Jun 2026 • 6:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PTRS dan Didik Kasih catat impak positif kepada prestasi pelajar

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) terus membuahkan hasil apabila berjaya meningkatkan prestasi akademik pelajar serta mengurangkan jumlah murid yang memerlukan kelas pemulihan di negeri ini.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata keberkesanan kedua-dua program itu dapat dilihat menerusi peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) selain penurunan bilangan murid yang memerlukan intervensi pemulihan.

Menurutnya, PTRS memberi fokus kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala PDK membantu murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.

Image from: PTRS dan Didik Kasih catat impak positif kepada prestasi pelajar
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal bercakap kepada media ketika Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK), Produk Pendidikan Percuma Terunggul Selangor di Pavilion Selangor Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Melalui Program Didik Kasih, kira-kira 17,000 murid mengikuti kelas pemulihan menggunakan dua modul khusus yang dibangunkan bagi memperkukuh kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

“Hasil pelaksanaan program ini, kita melihat kadar murid yang memerlukan kelas pemulihan semakin menurun, manakala pencapaian akademik keseluruhan menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Ahmad Azri berkata kira-kira 160,000 pelajar sekolah menengah dan 20,000 murid sekolah rendah telah menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Yayasan MBI.

Katanya, selain menerima modul pembelajaran percuma, peserta turut mengikuti kelas tuisyen selepas waktu persekolahan dengan bimbingan guru berkelayakan yang diberikan elaun khas.

“Murid yang mengikuti kelas juga disediakan makanan secara percuma bagi memastikan mereka dapat belajar dalam keadaan lebih selesa dan kondusif,” katanya.

Image from: PTRS dan Didik Kasih catat impak positif kepada prestasi pelajar
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal ketika Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK), Produk Pendidikan Percuma Terunggul Selangor di Pavilion Selangor Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Beliau menjelaskan pelajar yang ingin menyertai PTRS perlu bersekolah di Selangor dan berada di Tingkatan Empat atau Lima, manakala penyertaan kelas fizikal tertakluk kepada had pendapatan isi rumah bawah RM4,000.

Menurutnya, sambutan terhadap program itu terus menggalakkan dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa yang melihat sendiri impaknya terhadap prestasi akademik anak-anak.

“Cabaran utama ialah menguruskan jumlah pelajar yang besar, namun Yayasan MBI mempunyai sistem pemantauan khusus bagi menilai pencapaian dan keberkesanan program secara berterusan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved