
KUALA LUMPUR - Nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak memberi makna mendalam kepada Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Hari Wesak mengajak semua rakyat merenung nilai-nilai luhur yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat, khususnya kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sesama insan.
Menurut beliau, semua nilai itu bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus relevan dalam membina sebuah masyarakat yang saling memahami dan menghormati.
“Dalam negara yang rencam budaya, agama dan latar kehidupan, sambutan Wesak memberi makna mendalam tatkala wujud kelompok yang cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dan agama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelas Perdana Menteri, beliau percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian dan menjernihkan prasangka.
“Ia juga berupaya memperkukuh hormat dan persefahaman, yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha.
"Semoga sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha, serta terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah,” katanya. - Getaran, 31 Mei 2026




