PU Rahmat Dedah Layanan Kejam Tentera Israel, ‘3 Kali Saya Dibogel Kerana Mereka Takut’ 

WorldPolitics
6 Oct 2025 • 6:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR - Majoriti aktivis Malaysia yang ditahan Israel selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan layanan kejam tentera Zionis.

Mendedahkan perkara itu, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat berkata, beliau sendiri dibogelkan sebanyak tiga kali sepanjang ditahan.

Menurut beliau, insiden tersebut berlaku di atas kapal, di imigresen dan ketika dalam penjara, kononnya atas alasan pemeriksaan keselamatan.

“Saya tak malu untuk kongsi benda ini kerana saya percaya kita semua dilahirkan bogel dan mati nanti pun akan bogel.

“Tiga kali saya dibogelkan kerana mereka takut ada senjata pada badan saya.” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.

Jelasnya, tindakan tentera Zionis tersebut menggambarkan ketakutan mendalam mereka terhadap aktivis kemanusiaan.

“Kita perhatikan bahawa pergerakan mereka ini tidaklah kemas mana.

“Walaupun kita bukan dari bidang tentera, kita nampak mereka sangat berhati-hati dan ketakutan,” ujarnya.

Rahmat berkata, beliau sewaktu ditahan disoal siasat dengan pelbagai pertanyaan berkaitan Hamas serta isu-isu lain.

“Pada saya ketakutan mereka ini dizahirkan dengan melampau. Bila dia kata kita pembunuh anak-anak Yahudi, kita balas balik pembunuh anak Palestin, dia tak terkata. Sebab apa? Sebab mereka tahu mereka yang bersalah,” katanya.

Tegasnya, pengalaman pahit tersebut bagaimanapun tidak menggoyahkan semangat untuk terus berjuang membela nasib rakyat Palestin menerusi misi-misi kemanusiaan yang lain.

“Bangsa yang penuh ketakutan adalah bangsa yang tahu mereka bersalah. Alhamdulillah, kita berada di pihak yang berani kerana benar,” tambahnya.

Misi GSF membawa lebih 450 aktivis antarabangsa termasuk 23 rakyat Malaysia, dan kesemua mereka ditahan tentera laut Israel ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Segelintir tahanan telah dibebaskan namun Getaran difahamkan, masih ramai berada dalam tahanan dan tekanan dari seluruh dunia kian memuncak, menuntut agar Zionis membebaskan kesemua mereka. 

Kesemua aktivis Malaysia ketika ini selamat berada di Istanbul, Turkiye dan menanti waktu untuk kembali ke tanah air. - Getaran, 6 Oktober 2025