Hijab Direntap & Baju Digunting, Zizi Kirana Kongsi Terima Layanan Buruk Ketika Ditahan Tentera Israel [Video]

WorldPolitics
6 Oct 2025 • 5:06 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada 2 Oktober lalu, dunia telah dikejutkan dengan berita kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas oleh tentera Israel.

Susulan itu lebih daripada 450 aktivis dan sukarelawan termasuk 23 rakyat Malaysia ditahan dan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan misi untuk menyampaikan bantuan ke Gaza.

Seramai 137 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia serta 36 warga Turkiye kemudiannya telah dibebaskan serta selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada 4 Oktober yang lalu.

Sebaik sahaja selamat tiba di Istanbul ramai yang mula berkongsi mengenai pengalaman mereka yang dilayan dengan teruk oleh rejim Zionis tersebut. Bahkan ada juga yang perlu mendapatkan rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan dan sebagainya.

Zizi Kirana kongsi pengalaman dilayan teruk sewaktu ditahan tentera Israel

Terbaharu penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana turut berkongsi pengalamannya dilayan dengan teruk oleh rejim Zionis sewaktu ditahan.

Malah dia turut mendedahkan baju bahagian dalam turut digunting disebabkan tentera berkenaan tidak mahu ada sebarang baju lain.

“Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain,” ujarnya.

Paksa buka tudung dan stokin sampai nampak aurat

Menurut Zizi, dia bukan sahaja dilayan dan diperlakukan dengan kasar malah tentera Israel turut memaksanya membuka tudung dan stokin sehinga menampakkan auratnya.

Namun sewaktu berdepan dengan situasi itu, dia hanya boleh berdoa agar rejim Zionis itu menerima balasan yang setimpal atas tindakan kejam yang dilakukan ke atas umat Islam.

“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stokin dan kasut tapi saya cakap tak nak buka stokin. Namun dia paksa juga, saya kata haram.

“Dia paksa pula buka tudung, saya cakap saya Muslim, haram untuk saya buka hijab. Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang sampai kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit untuk saya kuat.

“Ketika itu saya doa berilah balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat dekat seluruh umat Islam di dunia ini,” ujarnya dalam temubual bersama Astro Awani.

Tak dibenarkan berhijab sepanjang dalam penjara, baju bahagian dalam digunting

Namun Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahlil menghadapi rejim Zionis itu dengan tenang. Tambah Zizi, mereka juga mengenalinya menerusi media sosial.

Bukan hanya itu, Zizi turut dipaksa tidak berhijab sepanjang dia berada di dalam penjara.

“Dia cakap nampak saya di TikTok dan Instagram sangat dikenali. Saya tengok saja dengan senyuman sinis walaupun dalam hati cakap ‘Ya Allah, inilah makhluk paling zalim dalam muka bumi aku tengah hadap.

“Tapi saya perlu tenang supaya benda itu tak ganggu emosi dan saya nak jadi masalah lain yang memudaratkan diri.

“Sampailah sebelum naik bas ke penjara, sekali lagi hijab saya ditarik. Baju bahagian dalam saya digunting sebab dia tak nak ada baju lain. Kasut dan stokin dah dibuka.

“Sampai ke penjara, dia suruh tukar baju penjara. Di sana kami dipenjara dan betul-betul dia tak benarkan saya pakai hijab.”

Sifatkan rejim Zionis takut sewaktu bertentang mata

Zizi turut mengatakan dia juga sempat bertentang mata dengan rejim Zionis tersebut serta melihat ketakutan yang cuba diselindung oleh pihak musuh.

“Mereka takut sebenarnya, saya boleh nampak sebab saya bertentang mata dengan mereka. Ada satu masa dalam kapal ruang dah sempit tiada tempat duduk. Saya duduk berhadapan laknatullah dan bertentangan mata.

“Dalam hati cakap, ‘ya Allah tolong hapuskan dari muka bumi.’ Dia pun sampai cakap kenapa saya pandang.

“Saya hanya respon ‘Apa?’ Sebab itu kot dia bagi saya paling akhir keluar dari kapal,” kongsinya lagi.

Semalam (5 Oktober) Zizi Kirana dilihat kembali aktif di media sosial selepas dia dan beberapa aktivis Malaysia lain dibebaskan oleh tentera Israel. Bahkan Zizi turut menzahirkan rasa kesyukuran dengan mengucapkan alhamdulillah dalam satu foto yang dikongsikan.