PU Riz anjur Quranic Madani di Bukit Bintang, himpun masyarakat dekati al-Quran

LocalLifestyle
8 May 2026 • 8:54 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: PU Riz anjur Quranic Madani di Bukit Bintang, himpun masyarakat dekati al-Quran

USAHA mendekatkan masyarakat dengan al-Quran terus diperkasakan menerusi penganjuran program Quranic Madani - Night Reset: Bersatu Dalam Saf yang bakal berlangsung Jumaat di hadapan Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Program yang dianjurkan secara percuma itu akan menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan usia untuk bersama-sama membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam suasana santai serta penuh pengisian rohani.

Pendakwah bebas, PU Riz atau nama sebenarnya Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, program berkenaan diadakan bagi menyemarakkan budaya mencintai al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Insya-ALLAH, kita pada Jumaat bakal mengadakan majlis al-Quran iaitu Quranic Madani supaya kita dapat menghimpunkan seramai mungkin masyarakat untuk bersama membaca dan memahami al-Quran.

“Program ini juga terbuka secara percuma kepada semua,” katanya.

Menurut PU Riz, antara fokus utama program tersebut ialah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun untuk memulakan hafazan al-Quran, khususnya menerusi Juzuk 30.

Image from: PU Riz anjur Quranic Madani di Bukit Bintang, himpun masyarakat dekati al-Quran

“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak kecil bermula umur tiga hingga sembilan tahun untuk mula menghafal al-Quran bermula dengan Juzuk 30.

“Tujuan utama program ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya,” katanya sambil memetik hadis Nabi Muhammad SAW, Khairukum man ta’allamal Quran wa ‘allamahu.

Dalam masa sama, dia turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan program yang dijadual bermula pada jam 8.30 malam.

“Mari sama-sama hadir pada jam 8.30 malam di hadapan Pavilion Bukit Bintang. Kita duduk bersama membaca al-Quran dan menghayati kalam ALLAH.

“Semoga ALLAH SWT memberikan keberkatan kepada negara kita dengan mengangkat al-Quran melalui Quranic Madani. Jumpa anda di sana,” ujarnya.

Program tersebut dijangka menjadi platform penyatuan masyarakat menerusi penghayatan al-Quran, selain menyuntik suasana harmoni di tengah-tengah kesibukan ibu kota.

View Original Article